Kuala Lumpur, 6 Mei 2026 – Lawatan kerja Pesuruhjaya Polis Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Pesuruhjaya Polis PPDB, Yang Mulia Dato’ Seri Pahlawan Sulaiman Alidin bersama delegasi ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman menjadi manifestasi penting dalam memperkukuh kolaborasi strategik antara pasukan keselamatan Malaysia dan Brunei.
Lawatan rasmi empat hari yang bermula hari ini hingga 8 Mei depan merangkumi pelbagai agenda strategik, termasuk sesi mesyuarat dua hala antara PDRM dan PPDB yang berlangsung pagi tadi dengan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay.
Fokus utama perbincangan tertumpu kepada usaha mempertingkat kerjasama penguatkuasaan undang-undang dalam menangani jenayah siber dan penipuan (scam), selain merangka pendekatan baharu bagi membanteras jenayah rentas sempadan. Inisiatif itu secara tidak langsung mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pasukan dalam menyelaraskan strategi operasi bagi menghadapi cabaran keselamatan global yang semakin kompleks.
Program kemudian diteruskan dengan kunjungan hormat ke atas KPN, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di Bilik Tetamu KPN. Perbincangan tersebut menyentuh aspek pengurusan modal insan termasuk menjadikan PDRM sebagai penanda aras pengurusan pusat latihan, khususnya dalam teknik bimbingan pelatih generasi masa kini.
Langkah itu bagi memastikan disiplin serta profesionalisme pasukan kekal efektif dan relevan mengikut peredaran zaman.
Terdahulu, ketibaan Yang Mulia Dato’ Seri Pahlawan Sulaiman telah disambut mesra oleh Tan Sri Ayob Khan bersama barisan Pengarah PDRM sebelum melakukan pemeriksaan kawalan kehormatan melibatkan tiga pegawai dan 102 anggota
Pasukan Simpanan Persekutuan yang diketuai oleh Pegawai Pemerintah Baris, DSP Mohd Farid Mohd Anuar.