George Town, 11 Mei 2026 – Kontinjen Kuala Lumpur muncul juara keseluruhan Temasya Sukan 2 Piala Ketua Polis Negara (KPN) Tahun 2026 dalam Majlis Penutupan yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay di Stadium Olahraga
Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, malam tadi.
Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula 6 Mei lalu itu melibatkan penyertaan daripada seluruh kontinjen Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang hadir mewakili KPN, IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail turut berpeluang menyaksikan acara akhir larian 4x400 meter lelaki dan wanita. Bagi kategori lelaki, Kontinjen Kuala Lumpur berjaya muncul juara, manakala Kontinjen Bukit Aman menjuarai kategori wanita.
Majlis penutupan temasya turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada para juara bagi empat acara sukan yang dipertandingkan iaitu badminton, futsal, tarik tali dan olahraga 4x400 meter.
Para pemenang membawa pulang piala pusingan bagi kategori masing-masing yang disampaikan oleh Tan Sri Ayob Khan sambil diiringi Pengarah
Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid merangkap Pengerusi
Majlis Sukan PDRM bersama Ketua Polis (KP)
Pulau Pinang merangkap Pengerusi Kontinjen Temasya Sukan 2 Piala KPN Tahun 2026, CP Dato’ Ts Azizee Ismail.
Berucap dalam majlis penutupan tersebut, Tan Sri Ayob Khan menyatakan bahawa temasya sukan yang diadakan membuktikan komitmen berterusan warga PDRM dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang seimbang, bukan sahaja dari aspek profesionalisme kepolisan malah meliputi kecergasan fizikal, ketahanan mental serta pembinaan sahsiah diri yang unggul.
“Gelanggang sukan pada kali ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan, malah turut menjadi pentas penyatuan warga Sang Saka Biru dalam menjulang semangat kesetiaan, disiplin, integriti dan kebersamaan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa nilai kerjasama berpasukan, daya tahan serta semangat “esprit de corps” menjadi kekuatan dalam memperkukuh semangat satu pasukan dalam kalangan warga PDRM ke arah mendepani apa jua cabaran demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
Kejohanan yang berlangsung kali ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk para pengunjung termasuk pameran oleh jabatan-jabatan dalam PDRM, agensi kerajaan serta swasta menerusi penganjuran karnival oleh
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK).
Seusai majlis, Tan Sri Ayob Khan turut berkesempatan menyantuni para atlet sebagai tanda penghargaan atas semangat kesukanan serta komitmen yang ditunjukkan.
Hadir sama, Pengarah JPJKK, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hassan Basri, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Redzuan Abd Hamid, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed serta barisan KP negeri.