Menu

KPN SAKSI PERALIHAN KEPIMPINAN JABATAN KDNKA DAN JPJKK

Kuala Lumpur, 15 Mei 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail hari ini menyaksikan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas (STT) dua Pengarah Jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus menandakan peralihan kepimpinan bagi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) serta Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) yang berlangsung di Dewan Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman, di sini.

Penyerahan jawatan Pengarah JPJKK telah diserahkan oleh CP Dato' Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri kepada CP Dato' Noor Hisam Nordin yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Ketua Polis Perak.

Manakala jawatan Pengarah Jabatan KDNKA bertukar daripada pemangkunya, CP Dato' Fisol Salleh kepada CP Dato' Sri Mohd Yusri, selaras dengan arahan pertukaran Pegawai Kanan Polis yang diumumkan baru-baru ini.

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid berharap agar perubahan pucuk kepimpinan ini dapat meningkatkan keberkesanan operasi dan memastikan PDRM kekal relevan dalam menghadapi cabaran keselamatan yang kian rencam.

Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid turut menegaskan bahawa kenaikan pangkat yang diterima mencerminkan prestasi, dedikasi dan komitmen tinggi sepanjang perkhidmatan, selain membawa amanah serta tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh integriti dan profesionalisme.

Beliau turut berharap agar setiap pegawai terus memperkukuh kepimpinan, menjadi pemangkin inovasi serta bertindak proaktif dalam memperkasa penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Terdahulu tertib acara dimulakan dengan pemakaian lencana pangkat Komisioner Polis (CP) kepada CP Dato' Noor Hisam Nordin dan CP Dato' Mohd Alwi Zainal Abidin, seterusnya kepada 20 pegawai kanan yang terdiri daripada dua Deputi Komisioner Polis (DCP), enam Senior Asisten Komisioner (SAC) dan 12 Asisten Komisioner Polis (ACP).

Turut diadakan Pemakaian Lencana Pangkat ACP Kehormat kepada Datuk Seri (Dr.) Syed Hussian Syed Aljunid selaku Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan kerjasama strategik beliau dalam memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan serta pihak media.

Majlis diteruskan dengan upacara menandatangani dokumen rasmi dan penyerahan tongkat kuasa yang disaksikan oleh Dato' Sri Hj. Mohd Khalid sebagai simbolik penyerahan tanggungjawab serta amanah kepada mereka yang dilantik ke jawatan baharu.
 
Dalam majlis yang sama, turut berlangsung STT Jawatan Setiausaha Polis Malaysia oleh DCP Datuk Abdul Rahman Kassim kepada penyandang baharu DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali.

Turut diadakan ialah acara STT Jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia JPJKK di antara DCP Datuk Suryani Sungit dengan Datin Noormawati Abdul Latip yang disaksikan oleh Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose.

Turut hadir, barisan Pengarah PDRM, para pegawai kanan serta Ahli-ahli PERKEP.

Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Bryanlie Mustin

May be an image of text

May be an image of dais and text

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of dais and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS