Menu

SAMBUTAN HARI KESEDARAN AUTISME PUSAT AUTISME PENGAMAN-PDRM 2026 PERKASA PENERIMAAN, KEFAHAMAN DAN INKLUSIVITI

Kuala Lumpur, 16 Mei 2026 – Sambutan Hari Kesedaran Autisme Pusat Autisme Pengaman-Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2026 berlangsung dalam suasana penuh harmoni dan bermakna di Dewan Pengaman, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, IG Dato' Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail itu menghimpunkan warga Pasukan, ibu bapa, pendidik, petugas serta anak-anak autisme dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap autisme serta memperkukuh sokongan kepada golongan berkeperluan khas.

Berucap pada majlis bertemakan “Penerimaan, Kefahaman, Inklusiviti”, Dato' Sri Hj. Mohd Khalid menegaskan bahawa masyarakat perlu beranjak daripada sekadar mempunyai kesedaran terhadap autisme kepada tahap penerimaan yang tulus dan menyeluruh.

Menurut beliau, autisme bukanlah satu kekurangan yang perlu 'diubati', sebaliknya merupakan satu variasi keunikan insan yang menuntut kefahaman mendalam daripada semua lapisan masyarakat agar dapat melihat dunia daripada perspektif mereka.
“Penerimaan yang sebenar lahir apabila kita memahami bahawa setiap anak autisme mempunyai potensi, bakat dan keistimewaan tersendiri yang perlu dibimbing serta diperkasa,” ujar beliau.

Tambahnya, sejak penubuhan pada Ogos 2020, Pusat Autisme Pengaman-PDRM telah membuktikan bahawa tanggungjawab PDRM melangkaui skop penguatkuasaan undang-undang dengan memainkan peranan aktif dalam memacu agenda inklusiviti sosial. Melalui pendekatan holistik yang merangkumi intervensi awal, pendidikan, terapi serta sokongan emosi kepada keluarga, pusat tersebut membantu anak-anak autisme mencapai potensi maksimum mereka.

Beliau turut menegaskan komitmen PDRM untuk memperkukuh latihan sensitiviti dalam kalangan warga Pasukan agar setiap interaksi dengan individu autistik dapat dilaksanakan secara profesional, berhemah dan penuh ihsan. Pada masa sama, beliau menekankan kepentingan kerjasama strategik antara PDRM, Yayasan Pengaman Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam memperkasa sokongan kepada keluarga anak-anak autisme.

Beliau turut menyatakan harapan agar Pusat Autisme Pengaman-PDRM terus berkembang sebagai pusat rujukan utama intervensi autisme di Malaysia dan peringkat serantau, sekali gus melahirkan individu autistik yang berdikari, berketerampilan dan berdaya saing.

Pada majlis sama, KOP Mantap Berhad berbesar hati menyumbangkan 30 unit tablet, manakala Great Eastern Assurance Berhad menyumbang dana berjumlah RM10,000 bagi menyokong usaha memperkasa pendidikan digital anak-anak autisme. Dato' Sri Hj. Mohd Khalid turut menyampaikan sumbangan RM20,000 menerusi Tabung Kebajikan Sukan dan Sosial Bukit Aman.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, penjaga dan pendidik yang disifatkan sebagai wira dan wirawati tidak didendang atas kesabaran serta pengorbanan mereka dalam membimbing anak-anak istimewa ini.
Sebagai penutup ucapan, beliau merakamkan syabas dan tahniah kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang menjayakan sambutan tersebut, khususnya Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Pusat Sains Negara dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung.

Beliau berharap sambutan Hari Kesedaran Autisme ini menjadi titik tolak kepada usaha yang lebih menyeluruh dalam membentuk masyarakat yang lebih prihatin, penyayang dan inklusif.

Turut hadir ialah Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia, Tan Sri Norian Mai, Timbalan Pengerusi Yayasan merangkap Pengerusi Pusat Autisme Pengaman, Tan Sri Hussin Hj. Ismail, Ketua Polis Negara ke-12, Tan Sri Abdul Hamid Bador, Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia, Dato' Meor Chek Hussien, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Fadil Hj. Marsus, Komandan PULAPOL Kuala Lumpur, SAC Datuk Mohd Nor Yhazid Idris, barisan Pengarah PDRM dan Ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pengaman Malaysia.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Nurkhairunisa Ibrahim.

May be an image of text that says 'N T T'

May be an image of one or more people, dais and text

May be an image of dais and text that says 'படதய் B A 2 PENERIAAN,KETA PENERI AAN KEFAHAMA PUSAT PUSATAUT AUTI PENGAMAN Tarikh 16 Mei 202 Hari Sabtu'

May be an image of dais and text

May be an image of crowd and text

May be an image of one or more people
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS