Dunia digital kini bertukar menjadi medan perburuan pemangsa seksual apabila sebanyak 1.47 juta fail bahan eksploitasi seksual kanak-kanak dikesan menerusi siri operasi bersepadu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Polis Diraja Malaysia sejak tahun 2024.
Pendedahan itu membongkar taktik licik pedofilia siber yang memanipulasi kenaifan anak-anak generasi gajet melalui telefon pintar, media sosial dan aplikasi sembang tanpa disedari keluarga.
Pengarah Eksekutif Protect and Save the Children, Puan Amnani A Kadir berkata, golongan kanak-kanak berdepan ancaman pedofilia dan eksploitasi seksual secara senyap apabila pelaku mudah mendekati mangsa secara dalam talian.
Menurutnya, platform digital yang membuka ruang tanpa sempadan menyebabkan sesiapa sahaja boleh berhubung termasuk ketika kanak-kanak bersendirian di dalam bilik.
"Dulu akses kepada kanak-kanak terhad melibatkan orang yang dibawa masuk oleh ibu bapa ke dalam rumah.
"Tetapi sekarang sesiapa sahaja boleh mendekati mereka melalui telefon bimbit dan platform digital," katanya.
Ikuti kupasan lanjut oleh Puan Amnani A Kadir mengenai pedofilia intai kanak-kanak menerusi keratan akhbar terbitan Sinar Harian seperti di lampiran.