Kuala Lumpur, 20 Mei 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) hari ini melancarkan Buku Panduan Pengurusan Siasatan Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear dan Bahan Letupan (CBRNE) sebagai usaha memperkukuh standard pengurusan siasatan serta meningkatkan kecekapan dan kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi ancaman keselamatan berisiko tinggi.
Majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah,
Maktab PDRM Kuala Lumpur (KL) itu telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dengan diiringi Pengarah JSJ, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, pagi tadi.
Dalam ucapannya, KPN berkata penerbitan buku panduan tersebut merupakan manifestasi komitmen berterusan PDRM dalam memperkasakan keupayaan siasatan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan pasukan dalam menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks dan dinamik.
Menurut beliau, ancaman CBRNE bukan lagi sesuatu yang asing dalam landskap keselamatan global memandangkan evolusi teknologi serta jaringan ancaman rentas sempadan yang semakin canggih mampu memberi impak besar terhadap keselamatan awam dan kestabilan negara.
“PDRM mengambil langkah proaktif dengan menerbitkan buku panduan yang komprehensif ini sebagai rujukan utama kepada semua pegawai penyiasat bagi memastikan setiap prosedur dilaksanakan secara sistematik, tersusun dan selaras dengan kerangka perundangan negara,” katanya.
Beliau berkata, antara teras utama yang diketengahkan dalam buku tersebut termasuk penyelarasan standard operating procedure (SOP), teknik dekontaminasi yang berkesan serta integrasi elemen forensik dalam pengurusan tempat kejadian.
Tambah beliau, aspek keselamatan petugas di lapangan turut diberikan penekanan selain memperincikan protokol kerjasama antara agensi bagi memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dan siasatan dapat dilaksanakan secara lebih efisien serta bersepadu.
KPN turut menzahirkan keyakinan bahawa buku panduan tersebut bukan sahaja mampu meningkatkan kompetensi warga PDRM, malah menjadi rujukan penting kepada pelbagai agensi pemegang taruh lain di Malaysia dalam usaha memperkukuh pengurusan ancaman CBRNE di peringkat nasional.
“Kejayaan menangani ancaman CBRNE tidak boleh digalas oleh PDRM semata-mata, sebaliknya memerlukan sinergi kukuh antara agensi di peringkat nasional mahupun antarabangsa demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara,” tambah beliau lagi.
Majlis turut diserikan dengan gimik pelancaran Buku Panduan Pengurusan Siasatan CBRNE PDRM yang menjadi simbol komitmen berterusan pasukan dalam memperkukuh kesiapsiagaan, pemantapan prosedur siasatan dan keupayaan pengurusan ancaman keselamatan moden.
Hadir sama, Pengarah
Pengurusan, CP Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi, CP Redzuan Abd Hamid, barisan Timbalan Pengarah Jabatan PDRM dan ketua polis negeri, Komandan Maktab PDRM KL, DCP Dr. Che Ghazalie Che Awang, pegawai kanan kementerian dan agensi kerajaan.
Jurugambar: Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar