Menu

HARI POLIS KE-219: KUNJUNGAN TIMBALAN KPN CERIAKAN PESAKIT KANAK-KANAK, BERI SEMANGAT UNTUK TERUS BERJUANG


Kuala Lumpur, 11 Jun 2026 – Wajah-wajah ceria dan senyuman terukir pada wajah pesakit kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (Hospital TABTAR), apabila menerima kunjungan Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay sempena Sambutan Hari Polis ke-219, hari ini.

Kunjungan tersebut bukan sahaja membawa kegembiraan kepada pesakit dan keluarga mereka, malah memberi suntikan semangat kepada kanak-kanak yang sedang berjuang melawan pelbagai penyakit.

Kehadiran kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut mencerminkan keprihatinan Pasukan terhadap kebajikan masyarakat, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan moral.

Program yang menjadi acara tahunan dalam kalendar PDRM itu dianjurkan oleh Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dengan kerjasama Hospital TABTAR sebagai usaha menyemarakkan nilai kemanusiaan serta mendekatkan PDRM dengan komuniti, khususnya pesakit kanak-kanak yang sedang menjalani rawatan.

Ketibaan Tan Sri Ayob Khan kira-kira jam 9.30 pagi disambut oleh Pengarah JPJKK merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Noor Hisam Nordin, Pro Naib Canselor UKM Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dato' Dr. Razman Jarmin, Pengarah Hospital TABTAR, Profesor Dr. Hamzaini Abdul Hamid dan Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Dato' Dr. Azmi Baharudin.

Dalam ucapannya, Tan Sri Ayob Khan berkata program seumpama itu bukan sahaja mencerminkan keprihatinan PDRM terhadap golongan yang memerlukan, malah berperanan memperkukuh hubungan serta kerjasama strategik antara PDRM, institusi kesihatan dan masyarakat, selaras dengan tema Sambutan Hari Polis ke-219, “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

Sejurus selesai majlis, Tan Sri Ayob Khan bersama delegasi dibawa melawat pesakit di Wad Pediatrik 1 yang menempatkan kanak-kanak berusia antara satu bulan hingga 18 tahun. Kunjungan mesra tersebut memberi peluang kepada para pesakit untuk berinteraksi secara dekat dengan kepimpinan tertinggi Pasukan, sekali gus menceriakan suasana wad dan memberikan semangat kepada mereka untuk terus tabah menjalani rawatan.

Turut disantuni ialah lima anak warga Pasukan yang sedang menerima rawatan bagi pelbagai penyakit. Ahli keluarga pesakit turut melahirkan rasa terharu dan berbesar hati atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh pucuk pimpinan terhadap kebajikan anak-anak mereka.

Sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap pesakit kanak-kanak, PDRM turut menyumbangkan empat buah kerusi roda khas untuk kegunaan mereka yang sedang menjalani rawatan di hospital berkenaan.

Hadir sama, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM serta rakan media.

Jurugambar: PDRM RMP TV

May be an image of one or more people, hospital, dais and text

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of child, hospital and text

May be an image of text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS