Menu

KEJOHANAN SUKAN PIALA KPN 2026 TUTUP TIRAI, ACARA SILAT KEMBALI WARNAI GELANGGANG


Seremban, 15 Jun 2026 – Kejohanan Sukan Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2026 melabuhkan tirainya semalam dengan acara silat kembali dipertandingkan selepas kali terakhir di gelanggang pada tahun 2019, sekali gus menjadi kemuncak penutup kejohanan sukan berprestij warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perlawanan akhir Silat Olahraga kategori lelaki dan wanita yang berlangsung di Karisma Arena, di sini menjadi tumpuan warga Pasukan apabila ditonton bersama Ketua Polis Negara (KPN) merangkap Yang Dipertua (YDP) Majlis Sukan PDRM, IG Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama isteri, Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose serta Timbalan KPN merangkap Timbalan YDP Majlis Sukan PDRM, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Para tetamu kehormat tampil segak mengenakan busana Melayu tradisional lengkap bertanjak, menyerlahkan keindahan warisan budaya Melayu yang bertepatan dengan semangat kesatria dan jati diri warga Pasukan

Aksi penuh bertenaga dan semangat juang tinggi para pesilat mencuri perhatian penonton apabila Konstabel Mohamad Hafiz Halim dari Kontinjen Bukit Aman muncul juara kategori Tanding Putra I (85-90kg), manakala kategori Tanding Putri B (50-55kg) dimenangi oleh Konstabel Riezlynn Edelya Edtasha Ahmad Rozi dari Kontinjen Negeri Sembilan.

Kejohanan yang berlangsung selama lima hari bermula 10 Jun lalu menghimpunkan penyertaan 20 kontinjen dari seluruh negara yang bersaing dalam tiga acara utama iaitu silat, ragbi dan ping pong. Penganjuran kejohanan tersebut bukan sahaja menjadi medan mengasah bakat dan kecemerlangan atlet Pasukan, malah mengukuhkan hubungan silaturahim serta semangat setiakawan dalam kalangan warga PDRM.

Berucap dalam majlis penutupan kejohanan, Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid merakamkan penghargaan kepada semua kontinjen, atlet, pegawai dan urus setia yang telah menjayakan penganjuran kejohanan tersebut.

Beliau berkata, sukan merupakan platform penting dalam membentuk disiplin, meningkatkan kecergasan fizikal serta memperkukuh semangat perpaduan dan kerja berpasukan dalam kalangan warga Pasukan.

"Di sebalik persaingan sengit ini, elemen utama ialah pengukuhan nilai kerjasama dan persaudaraan sebagai sebuah keluarga besar PDRM. Semangat kesukanan inilah yang perlu diterjemahkan dalam pelaksanaan amanah menjaga keselamatan masyarakat dan kedaulatan negara," katanya.

Pada majlis sama, Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid turut menyampaikan hadiah kepada Kontinjen Negeri Sembilan yang muncul johan keseluruhan acara silat dan membawa pulang piala pusingan. Kontinjen Johor muncul naib johan, manakala Kontinjen Kuala Lumpur menduduki tempat ketiga.

Bagi acara ping pong, Kontinjen Bukit Aman muncul juara selepas menewaskan pencabar dalam perlawanan akhir yang berlangsung kelmarin. Sementara itu, Kontinjen Selangor dinobatkan sebagai juara acara ragbi kategori terbuka selepas mengungguli perlawanan akhir pada 12 Jun lalu, sekali gus menyaksikan kedua-dua kontinjen membawa pulang piala pusingan masing-masing.

Majlis penutupan turut diserikan dengan gimik penyerahan Keris Adat Kejohanan oleh Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid sebagai simbolik berakhirnya Kejohanan Sukan Piala KPN 2026.

Upacara tersebut disaksikan oleh Tan Sri Ayob Khan bersama Pengarah Pengurusan merangkap Pengerusi Majlis Sukan PDRM, CP Dato' Sri Abdul Aziz Abdul Majid, Ketua Polis Negeri Sembilan selaku Penaung Jawatankuasa Induk Kejohanan, DCP Dato' Alzafny Ahmad serta Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia Negeri Sembilan, Dato' Mohd Rais Zainuddin.

Turut hadir, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Ketua-ketua Polis Negeri, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato' Mohamad Noor Yusof Ali serta pegawai-pegawai kanan Pasukan.

Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Khairunisa Ibrahim.

May be an image of text

May be an image of text that says 'HANKERIS HAN KERIS NERAHAN KE Majlis enutupan - KEJOHANAN ပြးအမ RA RA.BI BI የኔ PING RA.BEPING NG INSIL N SILI PIA 지원 NOJA ま'

May be an image of one or more people and text

May be an image of one or more people

May be an image of martial arts and text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS