Kuala Lumpur, 15 Jun 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama
Public Bank (PB) Berhad hari ini melancarkan inisiatif PB Scam Rangers sebagai usaha strategik memperkukuh kerjasama dalam memerangi jenayah penipuan kewangan melalui pendidikan serta pemerkasaan masyarakat terhadap keselamatan siber.
Mengangkat tema “Perangi Scam: Dua Pasukan, Satu Matlamat”, ia telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail bersama Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PB Berhad, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Tay Ah Lek, dengan diiringi Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, CP Dato’ Rusdi Mohd Isa di Grand Ballroom, Hotel InterContinental, di sini, pagi tadi.
Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid menzahirkan penghargaan atas komitmen PB Berhad dalam menjayakan inisiatif tersebut yang dilihat sebagai langkah proaktif dan berimpak tinggi dalam menangani jenayah penipuan dalam talian yang semakin kompleks.
Menurut beliau, jumlah kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan membimbangkan iaitu mencecah RM2.97 bilion pada tahun 2026 berbanding RM1.40 bilion pada tahun sebelumnya, sekali gus menuntut kerjasama bersepadu antara pihak penguatkuasaan, institusi kewangan dan masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan, mesej atau tawaran yang meragukan. Semak dan sahkan setiap maklumat melalui saluran rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan,” tegas beliau.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 20 pegawai polis sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam membantu menghalang kes penipuan kewangan melibatkan potensi kerugian melebihi RM19 juta.
Turut hadir, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, Ahli Lembaga Pengarah serta Pengurusan Tertinggi PB Berhad.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar