Kuala Lumpur, 16 Jun 2026 – Pelancaran Lencana Hakiki Pegawai Rendah Polis (PRP) bagi pangkat Sarjan, Sarjan Mejar (SM) dan Sub Inspektor (SI) hari ini menjadi simbol pengiktirafan terhadap peranan penting PRP sebagai tulang belakang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail di The Grand Sudirman Ballroom, Kuala Lumpur International Hotel, di sini.
Pelaksanaan pemakaian Lencana Hakiki PRP ini merupakan usaha berterusan PDRM dalam memperkukuh identiti, imej dan profesionalisme PRP yang menjadi tunjang kekuatan pasukan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid berkata, pelancaran Lencana Hakiki PRP merupakan simbolik pengiktirafan rasmi pasukan terhadap PRP berpangkat Sarjan, SM dan SI yang memikul amanah dalam jawatan hakiki masing-masing serta menjadi tulang belakang organisasi dan barisan hadapan dalam memastikan segala dasar serta operasi Pasukan dilaksanakan dengan cekap, berintegriti dan berkesan.
Beliau menegaskan setiap elemen pada lencana itu turut melambangkan keberanian, kepimpinan, semangat juang, perpaduan, identiti nasional serta kesetiaan kepada Raja dan Negara, sekali gus menzahirkan kecemerlangan anggota sebagai pemimpin di peringkat pelaksana.
Selain itu, beliau berharap pemakaian Lencana Hakiki PRP akan menjadi pemangkin motivasi kepada warga PRP untuk terus menjaga nama baik pasukan, mempamerkan teladan terbaik serta membudayakan kerja berprestasi tinggi dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks, sekali gus memperkukuh imej dan profesionalisme PDRM sebagai organisasi penguatkuasaan yang moden, dipercayai dan dihormati.
Majlis turut menyaksikan gimik pelancaran serta pemakaian Lencana Hakiki kepada wakil penerima yang terdiri daripada anggota berpangkat Sarjan, SM dan SI sebagai simbolik pelaksanaan rasmi pemakaian lencana tersebut di seluruh Pasukan.
Pelancaran ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memperkasakan pembangunan kerjaya serta pengiktirafan terhadap warga pasukan, selaras dengan aspirasi reformasi organisasi ke arah sebuah pasukan polis yang lebih profesional, berintegriti dan diyakini masyarakat.
Turut hadir ialah Ketua
Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali dan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Polis, SAC Suffian Sulaiman.
Jurugambar: Lans Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi