Putrajaya, 17 Jun 2026 - Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail memenuhi jemputan ke Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi anjuran
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang berlangsung di Masjid Putra, di sini pagi ini.
Turut berangkat ialah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Magfur-Lah yang berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis tersebut.
Keberangkatan tiba DYMM Paduka Seri Tuanku pada 9.30 pagi disambut oleh Timbalan Perdana Menteri II merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Hj.
Fadillah Hj. Yusoff bersama isteri, Datin Sri Hjh. Ruziah Mohd Tahir.
"MADANI Dihayati, Ummah Diberkati" diangkat sebagai tema sambutan pada tahun ini bertepatan dengan semangat hijrah Rasulullah SAW yang bukan sekadar peristiwa perpindahan,malah menjadi titik permulaan kepada pembinaan sebuah tamadun Islam yang unggul melalui penubuhan Negara Madinah.
Keberkatan majlis dimulai dengan bacaan doa oleh
Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Hj. Ahmad Fauwaz Fadzil dan diteruskan dengan sembah ucapan aluan oleh Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan sebelum Titah Diraja daripada DYMM Paduka Seri Tuanku di hadapan 5,000 tetamu yang hadir.
Dalam majlis tersebut juga, DYMM Paduka Seri Tuanku berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar manakala Mantan Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Profesor Sheikh Dr. Ahmad Al-Raysuni dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi.
Pemilihan tokoh-tokoh tersebut adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam, selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara. Mereka juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.
Hadir sama dalam majlis tadi, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Dr.
Johari Abdul, barisan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Polis Daerah
Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed, Ketua-ketua jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan, negeri serta kenamaan negara luar.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid.