Menu

HARI POLIS KE-219: WARGA PDRM BERAGAMA BUDDHA LAKSANA SEMBAHYANG KHAS, SEMAI NILAI KEROHANIAN


Kuala Lumpur, 26 Jun 2026 – Hampir 100 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk pegawai awam dan pesara polis beragama Buddha menyertai acara sembahyang khas sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Buddhist Maha Vihara, Brickfields, di sini, pagi tadi.

Acara yang diadakan saban tahun itu bukan sekadar menjadi tradisi, malah wadah memperkukuh nilai kerohanian, memperbaharui tekad serta memohon kekuatan dan kesejahteraan dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan negara.

Selari dengan tema sambutan, "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada", penganjuran program tersebut turut mencerminkan kematangan PDRM yang kini menjangkau usia 219 tahun sebagai institusi penguatkuasaan yang sentiasa dekat di hati masyarakat.

Acara keagamaan itu diketuai oleh Ketua Tertinggi Sami Buddha Malaysia, Datuk Dr. K. Sri Dhammaratana Nayaka Maha Thero dan diiringi Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Pelaburan Bersindiket), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, SAC Marvin Tan Seng Kian.

Dalam majlis tersebut, SAC Marvin telah membacakan teks ucapan Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail yang menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan Buddhist Maha Vihara atas kerjasama erat dalam menjayakan program berkenaan, selain menghargai komitmen warga PDRM dan pesara polis yang sentiasa memberi sokongan demi memastikan kelancaran majlis.

Menurut KPN lagi, rumah-rumah ibadat bukan sekadar menjadi tempat pelaksanaan ritual keagamaan, malah berperanan sebagai rakan strategik PDRM dalam membentuk sahsiah, moral dan disiplin masyarakat.

Beliau turut menegaskan bahawa nilai-nilai murni yang diterapkan melalui bimbingan agama mampu menjadi benteng kukuh dalam menangani pelbagai kemelut sosial, sekali gus membantu PDRM mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan saling menghormati.

Terdahulu, SAC Marvin Tan Seng Kian telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Dr. K. Sri Dhammaratana Nayaka Maha Thero di pejabatnya.
Hadir sama, Ketua Urus Setia KPN (Perundangan) Bukit Aman, SAC Lim Chee Wah, Penolong Pengarah (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Cha Hoong Fong serta rakan-rakan media.

Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid

May be an image of dais

May be an image of text

May be an image of temple, dais, crowd and text

May be an image of one or more people, temple and text

May be an image of temple, monument and text





PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS