Kuala Lumpur, 30 Jun 2026 - Koperasi Polis DiRaja Malaysia (KPDRM) Berhad terus melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya mempertahankan pengiktirafan sebagai Koperasi Premier bagi tiga tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan kecemerlangan dan keupayaannya sebagai sebuah institusi ekonomi yang berdaya saing serta mampan.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail yang juga merupakan Yang Dipertua KPDRM Berhad, ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) ke-91 KPDRM di Kuala Lumpur International Hotel, di sini, pagi tadi.
Dalam ucapannya, Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh ahli KPDRM atas kepercayaan, komitmen serta sokongan berterusan yang menjadi pemangkin utama kepada kejayaan dan kecemerlangan koperasi tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa KPDRM dan anak-anak syarikatnya perlu terus menjunjung prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan dalam setiap urusan, dengan memastikan setiap amanah diurus secara berhemah, telus serta bertanggungjawab.
Beliau juga menyeru seluruh warga PDRM yang masih belum menjadi ahli KPDRM agar segera mendaftar, kerana penyertaan dalam koperasi bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli, malah merupakan manifestasi solidariti dalam memperkukuh kesejahteraan dan ekonomi warga Pasukan secara kolektif.
Kemuncak majlis diserikan dengan penyampaian anugerah bagi empat kategori iaitu Anugerah Kontinjen Terbaik (Kategori Anggota dan Takaful), Anugerah Anggota Setia, Anugerah Anggota Bijak dan Anugerah Daerah Gemilang.
Turut berlangsung penyerahan wakalah zakat daripada KPDRM kepada PDRM yang disampaikan oleh Pengarah
Pengurusan merangkap Pengerusi KPDRM, CP Dato' Sri Abdul Aziz Abdul Majid kepada Pengarah
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, CP Dato' Aida Abdul Hamid dengan disaksikan oleh Tan Sri Dato' Seri Hj. Mohd Khalid.
Majlis turut menyaksikan penyampaian pampasan takaful kepada tiga waris pegawai dan anggota PDRM sebagai tanda penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan mereka kepada Pasukan.
Hadir sama, barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM.
Jurugambar: Koperal Irfan Bujang dan Lans Koperal Muhammad Azri Mohd Sabri

















