Shah Alam, 16 Julai 2026 – Pendigitalan dan inovasi perlu terus diperkasakan sebagai pemacu utama transformasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah organisasi kepolisan yang lebih pintar, moden, cekap dan berintegriti bagi mendepani landskap jenayah yang semakin kompleks.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Tan Sri
Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pembudayaan inovasi dalam PDRM bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan strategik dalam menyokong Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), di samping memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Inovasi PDRM Tahun 2026 bertemakan “Pendigitalan Menjana Kepolisan Pintar” yang berlangsung di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Selangor, di sini, hari ini.
Hari Inovasi PDRM yang berlangsung selama dua hari bermula 14 hingga 15 Julai lalu, menyaksikan penyertaan sebanyak 14 Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) mewakili pelbagai jabatan, kontinjen dan daerah yang mempertandingkan pelbagai produk inovasi hasil cetusan kreativiti warga PDRM.
Tan Sri Ayob Khan dalam ucapannya turut menekan bahawa dunia kepolisan kini berdepan pelbagai ancaman baharu termasuk jenayah siber, penipuan dalam talian, manipulasi kecerdasan buatan (AI), teknologi “deepfake” serta jenayah rentas sempadan yang menuntut pendekatan lebih dinamik dan dipacu teknologi.
“Justeru, PDRM perlu bergerak lebih pantas daripada evolusi jenayah dengan memanfaatkan pendigitalan, analitik data dan kecerdasan buatan sebagai pemangkin kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, konsep Kepolisan Pintar bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi moden, malah merangkumi budaya membuat keputusan berasaskan data, penyampaian perkhidmatan secara digital serta pengurusan operasi yang lebih responsif, tepat dan berintegriti.
Pada masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif penyelidikan dan pembangunan yang diterajui warga PDRM menerusi aplikasi teknologi digital dan kecerdasan buatan selaras dengan aspirasi transformasi PDRM serta
Kementerian Dalam Negeri.
Dalam majlis yang sama, Tan Sri Ayob Khan turut menyampaikan hadiah dan sijil penyertaan kepada para pemenang pertandingan. Bagi Kategori Penambahbaikan, Kumpulan Vortech dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
KLIA, Selangor muncul sebagai johan yang mengetengahkan Sistem Pemarkahan Latihan Tembak (SPLT) diikuti Kumpulan I-SPOSS dari Maktab PDRM
Bakri, Johor di tempat kedua dan Kumpulan
Briged Sarawak PGA dari Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA),
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman di tempat ketiga.
Bagi Kategori Penciptaan pula, Kumpulan VAT Vision dari
69 Komando, Jabatan KDNKA Bukit Aman dinobatkan sebagai johan melalui inovasi Tactical Assault Drone (T.A.D) diikuti Kumpulan PBS ENO dari Pusat Latihan Polis (PULAPOL)
Bukit Sentosa di tempat kedua, manakala Kumpulan The Excellent Team dari PULAPOL
Kuala Lumpur meraih tempat ketiga.
Turut diumumkan pemenang Anugerah Inovasi PDRM 2026 yang dimenangi oleh Kumpulan AINOV-X dari
Maktab PDRM Kuala Lumpur menerusi projek AI Transformation Toolkit. Tempat kedua disandang oleh Kumpulan Cawangan Telekomunikasi dan Sistem Maklumat, Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, manakala tempat ketiga menjadi milik Kumpulan IPD
Raub.
Hadir memeriahkan majlis ialah barisan Pengarah dan Timbalan Pengarah PDRM, CP Urusetia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) merangkap Urusetia Jawatankuasa Pemandu Pengurusan Inovasi PDRM, CP Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, Ketua
Polis Selangor selaku tuan rumah lokasi penganjuran majlis, CP Dato’ Pahlawan Shazeli Dato’ Kahar, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor Yusof Ali serta barisan Ketua Polis Negeri.