Kuala Lumpur, 30 Julai 2026 - Sebanyak 120 kes kemalangan maut yang direkodkan dalam tempoh empat tahun sejak 2023 hingga Jun 2026, adalah berpunca daripada pemandu mabuk dan bawah pengaruh dadah.
Pengarah JSPT, CP Dato’ Sri Muhammed Hasbullah Ali berkata, pihaknya amat serius terhadap langkah penguatkuasaan berterusan dalam mengesan pengguna jalan raya yang didapati mabuk dan terbabit penyalahgunaan dadah.
"Memang tiap-tiap minggu saya keluarkan arahan kepada semua pegawai dan anggota JSPT untuk sentiasa melaksanakan Op Mabuk, tiada kontinjen yang terkecuali.
"Berdasarkan statistik JSPT, kami mendapati kemalangan akibat pemandu mabuk banyak terjadi, jadi kami meningkatkan lagi operasi penguatkuasaan, termasuk sekatan jalan raya.
"Kami mendapati ramai pengguna jalan raya masih tidak sedar bahaya memandu dalam keadaan mabuk dan bawah pengaruh dadah.
"Ia bermakna sama ada kesalahan pemandu mabuk dan bawah pengaruh dadah ini berpunca daripada pemandu sendiri, ataupun undang-undang kita ini masih dianggap ringan sehingga kesalahan mabuk dan pengaruh dadah masih terus berlaku," katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.
Sumber: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan
Berita Harian