Kuala Lumpur, 11 Ogos 2026 – Kemerdekaan yang dinikmati hari ini bukanlah sesuatu yang datang dengan mudah, sebaliknya terhasil daripada pengorbanan darah dan keringat para pejuang terdahulu. Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus teguh memikul amanah dalam mempertahankan kedaulatan negara, bukan sekadar sebagai satu tanggungjawab profesional, malah sebagai satu bentuk pengorbanan dan jihad dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dalam Majlis “Flag Off” Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat PDRM Tahun 2026 yang berlangsung di Pekarangan Lobi Menara 1, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Majlis disempurnakan oleh Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid dengan penyerahan Jalur Gemilang dan “flag off” konvoi 20 kenderaan Unit Ronda Bermotosikal serta Unit Kereta Peronda PDRM sebagai simbolik bermulanya sambutan bulan kebangsaan peringkat PDRM.
Konvoi tersebut akan menyusuri jalan raya sekitar Kuala Lumpur dengan membawa mesej semangat kemerdekaan, kecintaan terhadap tanah air dan kesetiaan kepada negara, di samping menyeru masyarakat agar bersama-sama menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan, patriotisme dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
Seusai majlis berkenaan, KPN turut menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis (Pegawai Diwartakan) dan Pangkat Kehormat yang berlangsung di Mes Pegawai Kanan.
Majlis tersebut melibatkan 30 pegawai kanan PDRM yang terdiri daripada dua Komisioner Polis (CP), tiga Deputi Komisioner Polis (DCP), 12 Senior Asisten Komisioner (SAC) dan 13 Asisten Komisioner Polis (ACP), selaras dengan Arahan Pertukaran Pegawai Kanan Polis yang diumumkan baru-baru ini.
Disusuli pemakaian pangkat DCP kepada Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik,
Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohamad Farouk Eshak, Timbalan Pesuruhjaya
Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman, Tuan Roslan Alias.
Selain itu, turut diberikan pengiktirafan melalui penganugerahan pangkat kehormat kepada tiga individu yang telah memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan kerjasama bersama PDRM bagi meningkatkan keupayaan dalam keselamatan siber, pencegahan jenayah dalam talian dan pemeliharaan ketenteraman awam iaitu Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Ts. Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen yang dianugerahkan pangkat ACP Kehormat.
Manakala, Naib Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Puan Aini Suraya Datuk Osman dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Encik Adila Dato’ Abdullah yang masing-masing dianugerahkan pangkat DSP Kehormat.
Berucap dalam majlis yang diadakan, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid berkata, majlis tersebut merupakan manifestasi penghargaan tertinggi PDRM terhadap dedikasi, komitmen dan sumbangan bakti yang telah dicurahkan oleh para pegawai, selain menzahirkan penghargaan serta tahniah kepada mereka yang dinaikkan pangkat. Beliau turut menegaskan bahawa setiap kepercayaan dan amanah yang diberikan hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab bagi membawa perubahan yang lebih positif serta memberi makna kepada Pasukan PDRM.
Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran Pemangku Timbalan KPN, CP Dato’ Sri Ibrahim Darus, barisan Pengarah PDRM, Timbalan Pengarah PDRM, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO Sdn. Bhd., Dato’ Azman Hj. Idris dan wakil media.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery, Lans Koperal Bryan Mustin dan Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.