Kuala Lumpur, 12 Ogos 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman bekerjasama dengan Dream Film Sdn. Bhd. dalam menghasilkan filem "Is Not A Joke" yang mengangkat isu buli di institusi pendidikan dan sekolah di Malaysia, di samping menyampaikan mesej pencegahan jenayah kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Trailer filem berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah JSJ, CP Datuk M. Kumar S. Muthuvelu yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Filem berkenaan merupakan karya advokasi yang mengetengahkan realiti dan kesan jenayah buli, selain membawa mesej jelas bahawa buli bukan satu gurauan serta tidak seharusnya dipandang ringan oleh mana-mana pihak.
Kolaborasi strategik antara PDRM dan Dream Film Sdn. Bhd. ini mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam memperkasa usaha pencegahan jenayah menerusi pendekatan kreatif dan medium perfileman, sekali gus menyampaikan mesej kesedaran secara lebih dekat kepada masyarakat.
Turut hadir, Pengarah Dream Film Sdn. Bhd., Encik Choong Lin Loong, barisan Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Ketua-ketua Penolong Pengarah JSJ Bukit Aman, Ketua-ketua JSJ negeri, barisan pelakon utama serta rakan-rakan media.