Menu

PERKUKUH KESELAMATAN NEGARA, PERKASA SINERGI DAN KESIAPSIAGAAN PDRM - KPN

Kuala Lumpur, 28 Ogos 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menegaskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk terus memperkukuh keselamatan negara melalui peningkatan kesiapsiagaan dan sinergi strategik antara jabatan serta agensi dalam mendepani landskap ancaman yang semakin kompleks.

Perkara itu disampaikan oleh beliau dalam amanatnya sempena Perhimpunan Bulanan KPN bagi bulan Ogos anjuran Cawangan Khas di Dataran Kompleks 3, Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman, pagi tadi.

Turut hadir, Pemangku Timbalan KPN selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato' Sri Ibrahim Darus bersama barisan Pengarah PDRM.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid turut menzahirkan penghargaan kepada Cawangan Khas atas pencapaian yang dicapai sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2026.

Antara pencapaian berkenaan termasuk merekodkan 284 tangkapan dengan nilai rampasan dan sitaan melebihi RM260 juta, hasil kerjasama erat bersama Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Jabatan Siasatan Jenayah Komersil.

Selain itu, Cawangan Khas turut melaksanakan pendekatan keselamatan pencegahan dalam menangani isu-isu sensitif yang berpotensi menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara. Kejayaan Op Rempuh 5 dan Op Selat dalam membongkar sindiket pemalsuan dokumen dan memantau kapal berisiko pula membuktikan keupayaan pasukan bertindak secara proaktif dalam melindungi kedaulatan perairan serta sempadan negara.

Dalam pada itu, situasi keselamatan negara kekal terkawal hasil operasi risikan berterusan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas. Kedudukan Malaysia yang meningkat dalam Global Terrorism Index 2026 dan Global Peace Index 2026 turut mencerminkan tahap keamanan serta keselamatan negara yang terus terpelihara.

Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid turut menyampaikan Sijil Penghargaan KPN kepada 20 pegawai polis dan pegawai awam sebagai pengiktirafan atas prestasi kerja cemerlang serta dedikasi yang telah ditunjukkan oleh mereka dalam pasukan.

Jurugambar: Koperal Muhamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Muhammad Azri Mohd Sabri

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of one or more people and text

May be an image of text

May be an image of one or more people

May be an image of one or more people and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS