Putrajaya, 31 Ogos 2026 – Derapan penuh disiplin 594 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencuri tumpuan ketika melintasi pentas utama dalam perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 di Dataran Putrajaya, di sini, pagi tadi.
Tampil dengan keseragaman, ketangkasan dan semangat patriotisme yang tinggi, penyertaan kontinjen Sang Saka Biru bukan sekadar memeriahkan sambutan, malah mencerminkan disiplin, profesionalisme serta kesetiaan warga PDRM dalam menggalas amanah menjaga keamanan, keselamatan dan kedaulatan negara.
Kepelbagaian kepakaran PDRM turut diperagakan menerusi detasemen "working dress" seramai 126 pegawai dan anggota yang menampilkan pakaian Tugas Am, Unit Polis Pelancong, Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan
Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik.
Turut tampil ialah detasemen pakaian operasi melibatkan 192 pegawai dan anggota daripada Unit Tugas Am, Polis Marin, Pasukan Gerakan Udara, Light Strike Force, Infantri
Pasukan Gerakan Am (PGA), Senoi Praaq,
69 Komando dan
Unit Tindakhas (UTK), sekali gus menyerlahkan kesiapsiagaan serta keupayaan pelbagai elemen PDRM dalam mendepani cabaran keselamatan.
Lebih bermakna, 43 pesara polis yang diketuai DSP Hj. Senen Dollah turut kembali melangkah bersama kontinjen Sang Saka Biru, membawa simbolik bahawa berakhirnya tempoh perkhidmatan tidak pernah memadam semangat, jasa dan kecintaan mereka terhadap Pasukan serta tanah air.
Rentak perbarisan turut disemarakkan oleh 90 anggota Unit Pancaragam Pusat PDRM dan Unit Pancaragam Ibu Pejabat Polis Kontinjen
Kedah di bawah pimpinan Superintenden Mohd Fadzillah Mohd Nor bersama Drum Major Koperal Mohamad Fahrul Redza Ramlan @ Ramzan.
Melengkapi kekuatan kontinjen ialah 40 aset kenderaan, sebuah helikopter, 16 ekor anjing K9 serta 10 unit All Terrain Tactical Assault E-Bike (ATEB) baharu milik PGA yang turut dipamerkan sebagai sebahagian daripada kesiapsiagaan operasi PDRM.
Keseluruhan kontinjen melintasi pentas utama di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,
Sultan Ibrahim bersama KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 itu turut disaksikan Perdana Menteri, Dato' Seri
Anwar Ibrahim bersama isteri, Dato' Seri Dr.
Wan Azizah Wan Ismail, barisan Menteri Kabinet, Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail serta barisan kepimpinan tertinggi PDRM.
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery, Lans Koperal Bryanlie Mustin, Lans Koperal Khairunisa Ibrahim, Lans Koperal Muhammad Syafiq Abu Bakar dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi.