Kuala Lumpur, 29 September 2026 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah di negara ini yang dipercayai merekrut lima rakyat tempatan sebagai keldai dadah sebelum mereka ditahan pihak berkuasa Indonesia di Jakarta, Indonesia, Jumaat lalu.
Pengarah
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, CP Dato' Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek, iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 30 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.
Beliau berkata, mereka disyaki cuba menyeludup lima kilogram dadah sintetik jenis Etomidate yang disembunyikan di pelapik dalam kasut (insole) masing-masing.
"Pemeriksaan dilakukan terhadap suspek selepas petugas Kastam dan Eksais Indonesia mengesyaki pergerakan mencurigakan oleh kelima-lima individu terbabit.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati setiap seorang membawa dua bungkusan serbuk yang disyaki Etomidate dengan berat kira-kira 500 gram bagi setiap bungkusan," katanya ketika dihubungi, hari ini.