Kuala Lumpur, 12 Oktober 2026 – Jasa dan pengorbanan anggota Pasukan F dalam mempertahankan keselamatan negara daripada ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) terus dikenang menerusi Majlis Pengkisahan Sejarah Pasukan F bertemakan “Wira Dalam Senyap, Benteng Keselamatan Negara” di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim,
Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis anjuran bersama
Arkib Negara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri
Perpaduan Negara, Tuan Yuneswaran Ramaraj dan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), DIG Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid.
Pasukan F ditubuhkan pada 1 Mac 1971 sebagai pasukan khusus Cawangan Khas PDRM untuk mengesan, menghalang dan melumpuhkan gerakan bawah tanah PKM menerusi operasi risikan serta penangkapan. Bermotokan “Hanya Yang Berani”, pasukan ini melaksanakan pelbagai operasi bagi membanteras ancaman komunis sehingga termeterainya Perjanjian Damai Hat Yai pada 1989.
Pasukan F dibubarkan pada 1995 selepas memainkan peranan dalam usaha membanteras ancaman komunis. Walaupun beroperasi secara rahsia, pasukan elit Cawangan Khas ini meninggalkan sumbangan penting dalam sejarah perjuangan PDRM. Kewujudannya didedahkan kepada umum pada 6 Disember 2016 selepas fail operasi berkaitan dinyahklasifikasikan.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Abdul Aziz merakamkan penghargaan kepada anggota Pasukan F atas keberanian, dedikasi dan kesetiaan mereka dalam melaksanakan amanah demi keselamatan negara.
Beliau turut menghargai kerjasama Pengarah Cawangan Khas, CP Dato’ Sri Ibrahim Darus selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur dan Arkib Negara Malaysia dalam menjayakan majlis berkenaan.
Majlis diteruskan dengan sesi pengkisahan menampilkan tiga tokoh yang mempunyai pengalaman secara langsung dalam sejarah dan operasi Pasukan F, iaitu bekas KPN, Tan Sri Musa Hassan, bekas Pegawai Turus Pasukan F, Dato’ Abdullah Abdul Hamid serta bekas Ketua Kumpulan Pasukan F, Tuan Kamaruddin Hashim. Sesi tersebut dipengerusikan oleh Dr. Roslan Muhamad selaku penulis buku Pasukan F PDRM dan PKM di Malaysia 1971–1990.
Penganjuran majlis ini bertujuan mendokumentasikan sejarah Pasukan F dan memperkaya bahan rujukan di Arkib Negara Malaysia. Usaha ini juga diharap dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda melalui penghayatan terhadap perjuangan anggota Pasukan F.
Jurugambar: Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Lans Koperal Khairunisa Ibrahim