Kuala Lumpur, 23 Oktober 2026 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menegaskan integriti sebagai asas utama dalam memperkukuh disiplin, profesionalisme dan tadbir urus Polis Diraja Malaysia (PDRM) demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan.
Dalam amanatnya, beliau memaklumkan hampir 12,000 program pembangunan modal insan dan intervensi telah dilaksanakan sepanjang Januari hingga September 2026, melibatkan lebih 268,000 penyertaan warga PDRM. Usaha memperkukuh profesionalisme turut diperkasakan menerusi Task Force Frontliner, Task Force Pengurusan Siasatan serta Strategi Pembanterasan Rasuah PDRM 2026–2030 yang merangkumi 32 pelan tindakan.
Beliau turut memaklumkan Sambutan Hari Integriti Peringkat PDRM pada 11 November 2026 akan membawa tema “Integriti Dalam Organisasi: Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan” dengan penglibatan wakil Unit Integriti daripada agensi luar bagi memperkukuh ketelusan dan budaya kerja berintegriti. Sambutan itu turut menyaksikan pengiktirafan kepada 35 warga PDRM yang menolak tawaran rasuah ketika bertugas sebagai teladan kepada seluruh warga pasukan.
Dalam perhimpunan sama, KPN turut menyampaikan Surat Penghargaan kepada 20 pegawai polis dan pegawai awam atas prestasi cemerlang serta dedikasi dalam perkhidmatan.
Turut hadir Timbalan KPN, DIG Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid dan Pengarah JIPS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Perhimpunan, CP Dato’ Aida Abdul Hamid serta barisan Pengarah PDRM.