Kuala Lumpur, 26 Oktober 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh kerjasama strategik bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid menerusi Mesyuarat Permuafakatan PDRM bersama KPM 2026 yang berlangsung di Dewan Tan Sri Abdul Rahman Hashim,
Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pagi tadi.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr. Mohd Azam Ahmad.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Saifuddin Nasution Ismail turut menyampaikan ucaptama yang menekankan kepentingan sinergi strategik antara PDRM dan KPM dalam memperkukuh agenda keselamatan murid di seluruh negara.
Dalam mesyuarat tersebut, Tan Sri Mohd Khalid menegaskan kepentingan pendekatan pencegahan berasaskan risiko, khususnya di sekolah yang dikenal pasti berisiko tinggi. Pendekatan itu merangkumi intervensi awal, bimbingan dan kaunseling bagi menangani salah laku serius dalam kalangan murid.
Beliau turut menekankan pemerkasaan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), yang kini melibatkan 16,157 pegawai di lebih 10,200 sekolah di seluruh negara. Kerjasama antara PPS, pentadbir sekolah, guru dan murid perlu dipertingkatkan bagi membolehkan ancaman dikesan lebih awal serta mencegah kejadian yang boleh menjejaskan keselamatan warga sekolah.
Mesyuarat turut membincangkan pemantapan saluran komunikasi pantas, penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol, pemanfaatan Buku MESRA PPS serta penglibatan aktif Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam memperkukuh keselamatan sekolah.
Selain menilai keberkesanan kerjasama sedia ada, mesyuarat berkenaan menjadi platform untuk mengenal pasti ruang penambahbaikan dan memperkemas mekanisme pencegahan jenayah bagi mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, kondusif dan sejahtera.
Sesi pembentangan dan perbincangan turut melibatkan wakil jabatan PDRM,
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Bahagian Pengurusan Sekolah Harian bagi memperkukuh penyelarasan dan kerjasama antara agensi.