Menu

PENDIDIKAN SEBAGAI TUNJANG TRANSFORMASI PASUKAN

Kuala Lumpur, 3 November 2026 – Pendidikan dan penguasaan ilmu merupakan asas penting dalam membentuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kompeten, profesional dan berdaya saing. Seiring dengan keperluan serta cabaran kepolisan yang semakin kompleks, PDRM terus memperkasa pembangunan modal insan menerusi kolaborasi strategik bersama institusi pengajian tinggi dan agensi berkaitan.

Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Majlis Pengiktirafan Kecemerlangan Akademik dan Profesional PDRM Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Haji Ahmad Shah, Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini. Majlis disempurnakan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail.


Kerjasama antara PDRM dengan Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Malaya serta Jabatan Pembangunan Kemahiran menggabungkan kepakaran akademik, kemahiran teknikal dan pengalaman kepolisan bagi memperkukuh kompetensi serta melahirkan warga Pasukan yang dinamik, berdaya saing dan berintegriti.

Dalam ucapan perasmian penutupan, KPN menegaskan bahawa penguasaan teori dan keupayaan menganalisis isu kepolisan merupakan elemen penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan Pasukan. Justeru, kolaborasi strategik bersama institusi pengajian tinggi perlu terus diperkasa bagi merapatkan jurang antara teori akademik dengan amalan kepolisan di lapangan.

Beliau turut mengingatkan bahawa nilai sebenar ilmu bukan sekadar diukur melalui segulung sijil, sebaliknya perlu diterjemahkan menerusi kebijaksanaan, integriti dan profesionalisme dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil dan Anugerah Pelajar Terbaik kepada 393 penerima daripada Program Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) Sesi 2024/2025 dan 2025/2026 serta Program Ijazah Sarjana Pengadilan Jenayah Sesi 2025/2026.

Selain itu, sijil turut disampaikan kepada peserta Program Diploma Kemahiran Malaysia, Pengurusan Operasi Bahagian (Kepolisan), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia, Pengurusan Operasi Daerah (Kepolisan) serta Program Latihan Profesional Panel Penilai PDRM sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian dan komitmen mereka dalam meningkatkan kemahiran serta kompetensi profesional.

Usaha berterusan dalam memperkukuh pendidikan, kemahiran dan profesionalisme warga Pasukan diharap dapat melahirkan pegawai serta anggota yang berpengetahuan, kompeten dan berintegriti dalam mendepani cabaran kepolisan yang semakin kompleks, sekali gus menyumbang kepada kecemerlangan PDRM dan keselamatan negara.

Jurugambar: Lans Koperal Muhammad Shafiq Abu Bakar dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery



May be an image of dais and text

May be an image of dais and text

May be an image of dais and text

May be an image of dais and text

May be an image of dais and text

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS