Kuala Lumpur, 4 November 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui
Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) terus mempergiat usaha pencegahan jenayah serta memperkukuh keselamatan komuniti menerusi pendekatan proaktif, strategik dan bersepadu.()
Perkara tersebut ditekankan oleh Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail dalam amanat beliau sempena Perhimpunan Bulanan KPN bagi November 2026 anjuran JPJKK yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman, pagi tadi.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif kepolisan komuniti yang diterajui JPJKK seperti Volunteer Smartphone Patrol, Go-To-Safety-Point serta pengukuhan peranan Pegawai Perhubungan Sekolah merupakan langkah penting dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPJKK atas usaha memperkasa elemen sokongan PDRM, khususnya Polis Bantuan yang berkekuatan kira-kira 27,000 anggota serta Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM), yang turut berperanan sebagai rakan strategik dalam menyokong pelaksanaan tugas kepolisan.
Dalam amanat sama, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid menegaskan bahawa setiap warga PDRM, termasuk anggota Polis Bantuan dan SSPDRM, perlu menghayati bahawa pemakaian uniform, pangkat serta kuasa yang diberikan merupakan amanah besar yang menuntut integriti dan profesionalisme tinggi.
Beliau turut mengingatkan agar tiada pihak menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam sebarang salah laku yang boleh menjejaskan imej dan reputasi pasukan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 23 penerima yang terdiri daripada pegawai polis, pegawai awam, anggota Polis Bantuan dan sukarelawan polis sebagai pengiktirafan atas prestasi cemerlang serta komitmen mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.