Menu

PERUTUSAN KETUA POLIS NEGARA SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN DEEPAVALI TAHUN 2026

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Malaysia merupakan sebuah negara yang diberkati dengan keharmonian dan keamanan, hasil daripada kerukunan hidup rakyatnya yang berbilang bangsa, agama, serta budaya. Kepelbagaian ini bukanlah satu batasan, sebaliknya menjadi kekuatan utama yang menyatukan kita dalam acuan toleransi dan semangat kebersamaan yang utuh. Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), agar terus mempertahankan perpaduan serta menghargai nikmat keamanan yang kita kecapi hari ini demi kelangsungan kesejahteraan negara yang tercinta.

Sambutan perayaan Deepavali yang dinantikan ini bukan sahaja melambangkan kemenangan cahaya ke atas kegelapan, malah menjadi wadah yang menghubungkan masyarakat dalam suasana penuh muhibah dan harmoni. Momen istimewa ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya untuk mempererat silaturahim dan menyemai semangat kekeluargaan yang mendalam, melangkaui segala perbezaan latar belakang. Saya percaya bahawa nilai murni yang terkandung dalam perayaan ini mampu membentuk sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan saling menghormati antara satu sama lain.

Selaras dengan simbolik cahaya yang sentiasa memberi sinar, PDRM akan terus komited serta berdaya saing dalam menggalas amanah untuk memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. Kesediaan dan dedikasi warga PDRM dalam menjalankan tanggungjawab di sebalik keriangan sambutan ini merupakan manifestasi komitmen kita untuk memastikan sinar kebahagiaan dan keamanan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa rasa gusar.

Akhir kata, saya, isteri, serta seluruh keluarga mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia dan masyarakat beragama Hindu yang meraikannya. Semoga sambutan tahun ini disambut dengan penuh keceriaan, kedamaian, dan kegembiraan bersama insan tersayang.

Deepavali Vaalthukkal

IG TAN SRI DATO’ SERI HJ. MOHD KHALID BIN HJ. ISMAIL
Ketua Polis Negara
Polis Diraja Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS