Nilai, 7 November 2026 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh kerjasama dengan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi penganjuran Perlawanan Persahabatan Golf dan Tenpin Bowling antara PDRM dan ATM Tahun 2026 yang menjadi platform mengeratkan hubungan serta memupuk persefahaman antara kedua-dua pasukan keselamatan negara.
Program anjuran PDRM yang berlangsung di Albatross Ballroom, Kota Seriemas Golf and Country Club itu turut mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam menyokong agenda Jawatankuasa Kerja Am (JKKA), khususnya dari aspek penyelarasan kepentingan bersama dan pengukuhan kerjasama ATM-PDRM.
Dalam ucapan perasmian penutupan, Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail menegaskan bahawa kedua-dua pasukan memikul amanah besar dalam memelihara keamanan, keselamatan serta kedaulatan negara. Justeru, kerjasama erat yang berteraskan kepercayaan, penyelarasan tindakan dan perkongsian kepakaran amat penting bagi meningkatkan keupayaan kedua-dua pasukan dalam mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
Beliau turut menyifatkan perlawanan persahabatan seumpama ini bukan sekadar medan sukan, malah menjadi ruang untuk warga kedua-dua pasukan saling mengenali, berkongsi pengalaman serta memupuk disiplin, ketahanan diri dan semangat kesukanan.
Menurut beliau, kecergasan fizikal dan kesejahteraan mental merupakan elemen penting dalam memastikan kesiapsiagaan anggota menghadapi tuntutan tugas. Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama strategik ATM-PDRM dapat terus diperluas meliputi bidang operasi, latihan, pentadbiran dan kebajikan.
Terdahulu, acara golf yang melibatkan wakil PDRM dan ATM berlangsung di Kota Seriemas Golf and Country Club, manakala pertandingan tenpin bowling yang turut disertai Persatuan Keluarga Polis (
PERKEP) Malaysia dan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) diadakan di Dreambowl, Kompleks Sukan Dreamtel.
Kejohanan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Hj. Malek Razak Sulaiman, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM, Puan Sri Datin Seri Hjh. Siti Juana Md Ibrahim serta Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Puan Sri Datuk (Dr.) Hjh. Munirah Che Rose dan barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua organisasi.
Seusai pertandingan, PAT dan KPN bersama barisan kepimpinan PDRM, ATM, PERKEP serta BAKAT menyampaikan hadiah kepada para pemenang sebagai penghargaan atas penyertaan dan semangat kesukanan yang ditampilkan.
Penganjuran program ini diharap dapat terus menyemarakkan semangat persahabatan dan kebersamaan, sekali gus memperteguh kerjasama ATM-PDRM demi kepentingan keselamatan negara.
Jurugambar: Lans Koperal Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi dan Lans Koperal Hafizah Hassan Sabery.