Menu

TIMBALAN KPN TERIMA CONTRIBUTION TO SOCIETY AWARD 2026

Bangkok, 13 November 2026 – Timbalan Ketua Polis Negara (Timbalan KPN), DIG Dato’ Sri Abdul Aziz Abdul Majid menerima Contribution to Society Award 2026 pada Majlis The 24th Asia HRD Awards 2026 yang berlangsung di Millennium Hilton Bangkok, Thailand, malam tadi.

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau dalam bidang pembangunan sumber manusia, khususnya sepanjang menerajui Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Pengarah Pengurusan yang bertanggungjawab terhadap aspek pengurusan dan pembangunan sumber manusia Pasukan.

Pencalonan beliau turut mengambil kira pelbagai inisiatif serta sumbangan Jabatan Pengurusan PDRM dalam aspek pembangunan insan, pendidikan, kesejahteraan dan hubungan dengan masyarakat, selain usaha memperkasa kebajikan komuniti serta meningkatkan kompetensi dan profesionalisme warga PDRM.

The Asia HRD Awards merupakan anugerah yang diperkenalkan pada tahun 2003 bagi mengiktiraf individu dan organisasi yang memberikan sumbangan signifikan dalam bidang pembangunan sumber manusia.

Penganjuran kali ke-24 ini menghimpunkan tokoh serta organisasi dari seluruh Asia yang memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan insan dan komuniti.

Selain Contribution to Society Award, The Asia HRD Awards turut merangkumi empat kategori lain iaitu Lifetime Achievement Award, Contribution to Organisation, Contribution to Human Resource Community dan Movers and Shakers.

Seluruh warga PDRM merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Sri Abdul Aziz atas penganugerahan tersebut. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa pembangunan modal insan, meningkatkan profesionalisme warga Pasukan serta melonjakkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan PDRM.

May be an image of dais and text

May be an image of text

May be an image of text

May be an image of dais and text

May be an image of text


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS