Rakan Cop

Sejarah

Idea Rakan Cop diilhamkan atas kesedaran bahawa pihak polis adalah elemen pelengkap kepada sesebuah masyarakat yang aman dan harmoni. RAKAN COP bererti rakan polis. COP adalah singkatan dari perkataan Cooper yang diberikan kepada anggota polis. Di Amerika Syarikat, panggilan COP kepada Polis amat digemari oleh kerana lebih ringkas dan lebih mesra digunakan.

RAKAN COP adalah medium perantara untuk merapatkan jurang antara polis dan masyarakat. Ia mengambil konsep yang mudah dan praktikal untuk merealisasikan ikatan hubungan kukuh dengan orang ramai melalui pendekatan yang lebih jelas, lebih mudah, bersepadu dan tersusun.

Program Rakan Cop adalah bersifat Community Oriented Policing dan Smart Partnership. Pendekatan ialah dengan menggalakkan pembabitan orang ramai, terutama mereka yang terlibat dengan pertubuhan-pertubuhan masyarakat, termasuk agensi-agensi kerajaan dan swasta supaya menjadi mata dan telinga polis di samping menggalakkan interaksi dua hala antara kedua-dua pihak melalui saluran yang ditetapkan.

Gandingan usahasama pihak polis dan orang ramai di bawah naugan Rakan COP untuk memerangi dan mencegah jenayah telah dipermudahkan melalui penggunaan sistem penyampaian maklumat dua hala, iaitu saluran HOTLINE dan SMS Polis yang dipasang di Pusat Kawalan Kontinjen (CCC).

Semua pertubuhan masyarakat dan agensi berkaitan amat digalakkan untuk mewujudkan PUSAT SEHENTI ( One Stop Centre ) untuk memudahkan polis menyalurkan maklumat melalui CCC agar cepat dan tepat diterima oleh orang ramai. Interaksi pantas dua hala ini sudah pasti akan membantu komitmen PDRM untuk member respon dalam masa 15 minit sebaik menerima maklumat.


KESAN POSITIF PELAKSANAAN PROGRAM RAKAN COP

· Memberi didikan dan kesedaran sivik kepada masyarakat dalam pelbagai sudut keselamatan seperti mencegah jenayah dan keselamatan jalan raya.

· Mengeratkan hubungan mesra antara polis dan masyarakat. Ini sekali gus akan meningkatkan keyakinan masyarakat kepada PDRM.

· Memberi maklumat tepat untuk manfaat masyarakat.

Harapan daripada pelaksanaan RAKAN COP, pihak polis dan orang ramai akan saling menggembling tenaga untuk memerangi jenayah dan apa jua masalah keselamatan. Kesemua lapisan masyarakat adalah RAKAN COP. Kejayaan program RAKAN COP sudah pasti akan menjanjikan persekitaran yang lebih kondusif dan selamat di seluruh Negeri khasnya dan dalam Negara amnya.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS