INISIATIF AMALAN HIJAU DAN APLIKASI TEKNOLOGI HIJAU PDRM 2014-2015
Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Kerja di Peringkat Bukit Aman dan Peringkat Negeri/Kontinjen/Briged/Pusat Latihan/Maktab telah ditubuhkan pada tahun 2014 bagi meneraju dan menetapkan hala tuju Program Go Green PDRM . Setelah meneliti keberkesanan pelaksanaan Program Go Green PDRM, struktur tadbir urus jawatankuasa yang sedia ada telah disemak semula dan penambahbaikan telah dilakukan. Senarai lengkap struktur tadbir urus tersebut adalah seperti di lampiran.
Bagi mengukuhkan pelaksanaan program berkaitan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau di PDRM, Bahagian Analisis dan Pembangunan Teknologi (TechAD) telah ditubuhkan di bawah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) pada 31 Oktober 2014 yang merupakan Urusetia Jawatankuasa Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau bagi mengurus dan menyelaraskan Program Go Green PDRM.
PDRM dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan GreenTech Malaysia telah menganjurkan seminar pelaksanaan GGP melibatkan penyertaan pegawai tertinggi di setiap Pusat Tanggungjawab pada 27 November 2014 di Hotel Shangri-La Putrajaya yang telah dirasmikan oleh YDH Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar.
Pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan projek perintis yang dipilih telah turut serta dalam sesi latihan pengurusan tenaga dan air pada 30 Disember 2014 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Tujuan latihan ini dianjurkan bertujuan meningkatkan kesedaran warga PDRM dalam menguruskan tenaga dan air secara lebih cekap dan efisyen.
Selama 2 tahun berturut-turut, PDRM tidak ketinggalan untuk menyertai IGEM 2014 dan IGEM 2015 dengan mempamerkan inisiatif-inisiatif hijau yang telah dilaksanakan dan berkongsi kejayaan PDRM dalam mengaplikasikan teknologi hijau kepada delegasi dari dalam dan luar negara. Program ini merupakan acara tahunan anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan GreenTech Malaysia bagi memberi peluang syarikat-syarikat dan agensi daripada dalam dan luar negara untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan berasaskan teknologi hijau
PDRM telah melaksanakan Program 3R dengan kerjasama Alam Flora melalui pengumpulan dan penjualan sisa pepejal domestik yang boleh dikitar semula seperti kertas, kaca, botol plastik dan lain-lain setiap bulan bermula pada bulan Ogos 2015 di Menara 1 dan Menara 2 Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.
Seramai 11 orang pegawai PDRM mewakili beberapa kontinjen telah bersama-sama pegawai daripada agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri menghadiri Bengkel GGP dan LCC selama 3 hari pada 26-28 Mei 2015 di Hotel BangiPutrajaya anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan GreenTech Malaysia. Bengkel ini bertujuan memberi pendedahan kepada pegawai perolehan berkaitan pelaksanaan perolehan hijau yang merangkumi pemilihan produk serta penyediaan dokumen tender bagi perolehan berkonsepkan teknologi hijau.
Bagi tahun 2014, PDRM telah membelanjakan sebanyak RM30 juta, dan RM11 juta bagi tahun 2015 bagi tujuan pembelian produk dan perkhidmatan berkonsepkan teknologi hijau. PDRM telah menjangkaui sasaran yang ditetapkan di dalam Blueprint dengan mencapai peratusan perolehan hijau sebanyak 14% bagi tahun 2014 dan 9.9% bagi tahun 2015. Di samping menyokong pertumbuhan ekonomi hijau, PDRM merupakan pelopor dalam melaksanakan perolehan hijau di kalangan organisasi lain di sektor kerajaan.
Pengauditan Tenaga telah dilaksanakan oleh GreenTech Malaysia di empat (4) bangunan terpilih yang menjadi projek perintis PDRM iaitu Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail, Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Pengauditan tenaga ini bertujuan untuk membuat analisis kadar penggunaan tenaga di bangunan tersebut dan mencadangkan pelan tindakan yang bersesuaian bagi pelaksanaan aktiviti kecekapan tenaga.
Aktiviti retrofit telah dilaksanakan di Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail bagi menjadikan Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail sebagai salah satu balai polis hijau di Malaysia dan menjadi contoh kepada balai-balai yang lain. Antara langkah dan aktiviti yang dijalankan termasuklah penukaran lampu cekap tenaga, pembangunan sistem pemantauan penggunaan tenaga secara atas talian dan pembersihan penghawa dingin secara komprehensif. Aktiviti retrofit ini dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif program kecekapan tenaga yang dicadangkan di dalam laporan audit tenaga. Majlis Pelancaran Inisiatif Hijau di Balai Polis Taman Tun Dr.Ismail ini telah disempurnakan oleh YDH CP Dato’ Pahlawan Zulkifli bin Abdullah pada 7 Januari 2015. Menerusi inisiatif ini, Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sehingga 32% bersamaan dengan 2,786kWh dan pengurangan pembebasan karbon dioksida sehingga 2060kgCO2 pada tahun 2015 berbanding penanda aras tahun 2013
Balai Polis Taman Tun. Dr. Ismail telah mendapat sijil penarafan hijau (pH JKR) 3BINTANG bagi inisiatif-inisiatif hijau yang telah dilaksanakan di balai polis tersebut. Majlis Penyerahan sijil tersebut telah diadakan pada 13 Julai 2015.
Kerjasama telah dijalankan dengan syarikat TM Berhad bagi pemasangan sistem solar hibrid yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan bahan api (diesel) di balai polis dan kuarters di pulau tersebut.
Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman bersama-sama mengambil inisiatif untuk membudayakan amalan hijau dalam aktiviti harian seperti menggalakkan penggunaan tangga, penutupan sistem penghawa dingin secara automatik selepas waktu bekerja dan penutupan lampu semasa waktu rehat tengah hari. Hasil daripada aktiviti ini, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 440,354kWh dan pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 326tanCO2 pada tahun 2015 berbanding tahun sebelumnya.
Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman telah membeli sebanyak 33 buah skuter elektrik bagi kegunaan AMANITA di Kontinjen Kuala Lumpur dan Kontinjen Selangor pada tahun 2014 dan digunakan untuk tujuan rondaan dan pencegahan jenayah di samping mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon dioksida ke udara. Menerusi penggunaan skuter elektrik ini, didapati ianya dapat mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 44% berbanding penggunaan motosikal konvensional.
PDRM berjaya mengurangkan penggunaan tahunan bahan api petrol sehingga 6.6% iaitu sebanyak 2.63 juta liter dan pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 7,120 tan CO2 pada tahun 2015 berbanding tahun sebelumnya dengan mengamalkan amalan hijau dalam pengurusan pengangkutan. Antara insiatif yang dilaksanakan seperti penggantian kenderaan lama yang mempunyai kadar emisi yang tinggi, berkongsi kenderaan ke destinasi yang sama, dan tidak membiarkan enjin melahu (idling) semasa menunggu.
Bagi mengurangkan penggunaan tenaga elektrik dan pelepasan gas karbon dioksida, PDRM telah memasang perisian cekap tenaga PC Power Management di 600 buah komputer di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman. Inisiatif ini dilihat dapat menjimatkan kos pengoperasian sehingga RM55,430 dan pengurangan pelepasan karbon dioksida sebanyak 89,700tanCO2 sepanjang 2 tahun pelaksanaannya.
Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bersama GreenTech Malaysia telah menganjurkan Green Explore Race pada 15 Jun 2014 di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang bagi memberi pendedahan dan meningkatkan pengetahuan tentang teknologi hijau. Polis Diraja Malaysia yang diwakili oleh pegawai dan anggota daripada Bukit Aman dan sekitar Selangor telah terlibat sebagai peserta dalam program ini.
Seramai 70 orang pelajar daripada kalangan keluarga PDRM telah turut serta dalam program MyHIJAU Youth Camp selama 3 hari pada 22-24 Ogos 2014 di Agrotek Resort Hulu Langat anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan GreenTech Malaysia. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepada komuniti PDRM tentang kepentingan teknologi hijau terutamanya kepada jenerasi muda.
PDRM telah mengambil bahagian dalam Program Community Policing dan Pembersihan Taman Laut di Pulau Perhentian, Terengganu pada 15 Oktober 2014. Program ini adalah salah satu cara Community Policing dalam usaha untuk mengeratkan hubungan antara pihak polis dan orang awam dan pemuliharaan alam sekitar dengan menjalankan aktiviti pembersihan dasar laut.
PDRM telah terlibat dalam pameran Karnival Ya Hijau anjuran Yayasan Hijau Malaysia pada 7 Mac 2015 di Kompleks Sukan Pagoh dan 13 Jun 2015 di Dataran Putra Padang Terap. PDRM telah mempamerkan inisiatif hijau yang telah dilaksanakan oleh PDRM bagi memberi pendedahan dan kesedaran kepada komuniti dan masyarakat sekeliling mengenai kepentingan teknologi hijau.
Program ini diadakan pada 6 Jun 2015 bertujuan untuk mengindahkan dan membantu membersihkan kawasan persekitaran bukit yang sering tercemar dengan botol plastik, tin minuman serta bekas makanan yang sering ditinggalkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ketika membuat pendakian di bukit berkenaan. Ia juga adalah salah satu usaha PDRM dalam mengamalkan budaya kerja dan hidup yang sihat selari dengan seruan kerajaan menggalakkan warganya sentiasa sihat dan kuat dalam menjalankan kerja seharian.
Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan GreenTech Malaysia telah menganjurkan PDRM Green Day Programme pada 16 Disember 2015 bertempat di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada seluruh komuniti PDRM tentang kepentingan teknologi hijau, penggunaan produk dan perkhidmatan hijau serta memberi pendedahan tentang penggunaan kenderaan elektrik. Selain itu, program ini juga merupakan platform bagi PDRM untuk mengumumkan pencapaian pelaksanaan Blueprint Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau kepada umum. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Polis Negara, YDH IG Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar.
Polis Diraja Malaysia telah mendapat anugerah Malaysia’s Top 30 Green Catalyst 2014 di malam anugerah GreenTech Award pada 29 Januari 2015 bertempat di Hotel Majestic Kuala Lumpur. Anugerah ini sebagai pengiktirafan kepada PDRM di atas inisiatif dan usaha melaksanakan teknologi hijau dan menjadi pelopor dalam pembangunan teknologi hijau di Malaysia dengan penghasilan Blueprint Amalan Hijau dan Aplikasi Teknologi Hijau. PDRM telah diwakili oleh Timbalan Ketua Polis Negara, YDH Dato’ Sri Noor Rashid bin Ibrahim bagi menerima anugerah ini pada majlis tersebut.
Paparan dalam sistem ini paling sempurna dengan menggunakan Internet Explorer 8 ke atas dan resolusi skrin 1280 x 800 Disediakan oleh : Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) dengan kerjasama Bahagian Telekomunikasi dan Sistem Maklumat Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, 50560 Bukit Aman, Kuala Lumpur. Telefon: +603 - 2266 2222 E-mel : rmp[at]rmp[dot]gov[dot]my Bantuan Portal | Peta Laman | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan | Notis Hakcipta | Penafian | Hakcipta Terpelihara PDRM 2016