#PKPB #COVID-19
KERATAN AKHBAR PILIHAN: RAMAI DEGIL BALIK KAMPUNG
Putrajaya, 21 Mei 2020 - Jumlah kenderaan yang diarah berpatah balik kerana cuba melakukan perjalanan rentas negeri untuk pulang ke kampung tanpa alasan munasabah semalam, meningkat sekali ganda berbanding kelmarin.
Sebanyak 3,212 kenderaan diarah berpatah balik kelmarin, berbanding 1,633 kenderaan kelmarin, sehari sebelum itu yang bertentangan dengan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Sehubungan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis akan bertindak tegas ke atas mereka yang masih berdegil pulang ke kampung sempena Aidilfitri, kecuali kes kecemasan yang perlu mendapat kebenaran polis.
"Semalam (kelmarin) ada lebih 1,000 kenderaan cuba rentas negeri dan jumlah itu sudah kita anggap tinggi, namun hari ini (semalam) meningkat lagi sehingga lebih 3,000.
"Ini bermakna jumlah mereka yang berminat balik ke kampung masih ramai dengan cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan PKPB di sini, semalam.
Dato’ Sri Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan kompaun kepada 51 individu setakat semalam atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB.
"Semalam (kelmarin), PDRM juga menahan 44 individu atas kesalahan melanggar SOP, dengan 40 individu direman dan 4 individu dijamin," katanya.
PDRM melaksanakan 216 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri, kelmarin, dan memeriksa 318,082 kenderaan.
Bacaan lanjut di keratan akhbar terbitan Berita Harian seperti berikut.
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN