Kuala Lumpur, 19 September 2020 - Aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang dan individu yang ingkar boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara tidak melebihi tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), DCP Dato’ Azisman Alias berkata, kesalahan berkenaan dinyatakan dengan jelas dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, malah ada notis pada papan tanda di semua plaza tol yang menyenaraikan kenderaan dilarang berada di lebuh raya.
"Di semua plaza tol, ada papan tanda yang memaklumkan larangan berkenaan. Dari segi penguatkuasaan, ada peruntukan undang-undang khusus mengenai perkara itu, iaitu Seksyen 79(2) akta sama kerana mengabaikan isyarat lalu lintas," katanya.
Beliau menjelaskan, larangan aktiviti berbasikal di lebuh raya dan jalan yang sibuk bertujuan mengelakkan penunggang terdedah kepada risiko yang membahayakan keselamatan diri serta pengguna lain.
"Penunggang basikal, termasuk untuk tujuan riadah perlu menggunakan laluan lebih sesuai dengan keperluan mereka, elak berbasikal di lebuh raya dan jalan sibuk kerana ia tidak sesuai untuk beriadah. Ia juga satu kesalahan kerana ada larangan diletakkan di setiap lebuh raya atau jalan raya tertentu.
"Selain itu, tahap kesihatan mereka juga boleh terjejas dengan asap kenderaan, terutama di laluan yang mempunyai jumlah kenderaan tinggi dan sibuk," katanya.
Bacaan lanjut dalam keratan akhbar terbitan Berita Harian
Sumber: Berita Harian
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN