Kuala Lumpur, 2 Oktober 2020 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memberi peringatan ulangan kepada pasukan petugas khas operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi meningkatkan pemeriksaan dan pemantauan seiring situasi penularan COVID-19 terkini.
Sebanyak 260 kes baharu COVID-19 dicatat semalam, kedua tertinggi di negara ini selepas 4 Jun lalu yang merekodkan 277 kes.
Timbalan Ketua Polis Negara, DIG Dato' Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani, berkata individu yang didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau mengabaikan langkah pencegahan ditetapkan kerajaan akan dikompaun RM1,000.
"Kita mahu pastikan orang ramai patuh kepada peraturan ditetapkan.
"Tidak ada lagi fasa amaran. Tindakan menangkap dan denda kompaun terhadap mereka yang ingkar masih diteruskan.
"Statistik tindakan boleh dilihat menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri, setiap hari," katanya pada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Dato' Sri Acryl Sani berkata, pihaknya juga membantu Kementerian Kesihatan bagi memastikan golongan yang perlu menjalani proses kuarantin di rumah mematuhi arahan ditetapkan pihak berkuasa.
"Fokus turut diberikan terhadap pemantauan orang yang dikenakan perintah kuarantin di rumah untuk patuh kepada arahan kementerian berkaitan," katanya.
Sumber: Berita Harian Online
#StayHome #BeSafe #Pray4Malaysia
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN