Kuching, 23 Disember 2020 - Lima individu ditahan kerana cuba menyogok polis RM1,850 dalam serbuan yang dilakukan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged, Sarawak melibatkan penyeludupan barang kawalan yang bernilai lebih RM1 juta di persempadanan Malaysia Indonesia berdekatan Kampung Raso, di sini, semalam.
Kelima-lima individu yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia itu berjaya ditahan oleh sepasukan anggota operasi bersama Pasukan Skuadron Perisai 11 Briged Sarawak yang ketika itu sedang membuat rondaan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) sebelum terserempak dengan tiga buah kenderaan yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Komander PGA Briged Sarawak, SAC Tuan Mancha Ata berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, suspek cuba memberi wang suapan sebanyak RM1,850 sebagai imbuhan kepada pihak polis agar tidak menangkap mereka yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan itu.
“Hasil pemeriksaan lanjut polis menemui barangan sejuk beku seperti sosej dan kepak ayam bernilai RM91,632, 11 kotak sarang burung walit bernilai RM665,000, dua buah lori jenis Mitsubishi Fuso bernilai RM216,000 dan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux bernilai RM60,000,” katanya.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM1,034,482 dan kesemua suspek yang ditahan serta barangan yang dirampas diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN