Cheras, 3 Julai 2021 - Polis menahan 10 wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran di sebuah kondominium di sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Dato' Sri Abd Jalil Hassan berkata, lelaki berusia 39 tahun itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.
Menurut beliau, modus operandi kegiatan tersebut yang telah beroperasi selama sebulan itu menggunakan platform media sosial bagi menawarkan perkhidmatan pelacuran.
“Wanita terbabit akan mencari pelanggan menerusi media sosial dan menggunakan 'transporter' untuk menghantar mereka ke lokasi ditetapkan pelanggan.
“Bagi menyembunyikan aktiviti ini, mereka akan bergerak secara individu dan pergi ke lokasi ditetapkan pelanggan,” katanya ketika ditemui dalam operasi Op Patuh dan Op Pantau petang tadi.
Katanya, kesemua individu yang ditahan itu akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) kerana terdapat kemungkinan mereka menjadi mangsa eksploitasi seks.
Jurugambar: Lans Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid dan Konstabel Muhammad Khairul Hilmi Zaini
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN