Sungai Petani, 20 Julai 2021 - Seorang pesakit COVID-19 yang memakai gelang pengawasan berwarna merah jambu dan di bawah arahan kuarantin di rumah mengadu sesak nafas kepada petugas di sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Sungai Petani Utara, di sini, semalam, sebelum polis membantu mengiringinya ke hospital.
Lelaki berusia 38 tahun yang memandu kereta Perodua Kancil itu dikesan memakai gelang pengawasan berkenaan ketika melalui SJR kira-kira 10 malam ini, dan memaklumkan dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Tuan Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan mendapati, lelaki itu dari Taman Kempas, dekat sini, dalam perjalanan ke HSAH selepas mengalami sesak nafas dan turut mengadu keletihan.
Beliau berkata, lelaki itu memaklumkan dia tinggal seorang diri dan hendak menjalani pemeriksaan di hospital.
"Berikutan itu, polis membantu mengiringi lelaki itu sehingga ke HSAH bagi memastikan dia dapat menjalani rawatan lanjut.
"Soal siasat juga mendapati, lelaki itu sudah dikuarantin sejak tiga atau empat hari lalu kerana positif COVID-19," katanya ketika ditemui dalam pemeriksaan SJR Plaza Tol Utara, di sini, semalam.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN