Kuala Lumpur, 2 Ogos 2021 - Polis akan memanggil Ahli Parlimen dan peserta-peserta yang terlibat dalam perarakan ke Bangunan Parlimen di sini hari ini untuk memberi keterangan berhubung perarakan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato' Azmi Abu Kassim berkata, kesemua mereka yang terlibat sedang dikenal pasti, dan perarakan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Setakat ini, pihak polis telah menerima dua laporan polis mengenai perarakan berkenaan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Polis hari ini menghalang cubaan Ahli Parlimen Pembangkang memasuki perkarangan bangunan Parlimen bagi mendesak supaya sidang khas disambung walaupun ia telah ditangguhkan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan penularan COVID-19.
Kumpulan itu bersurai tanpa sebarang kekecohan selepas diarahkan oleh pihak polis, tetapi berlaku banyak perlanggaran prosedur operasi standard (SOP) khususnya berkaitan penjarakan fizikal, ketika perarakan dan ketika mereka berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak menuju ke Parlimen.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN