Yan, 22 Ogos 2021 - Polis menasihati sukarelawan yang berada di sini bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Timbalan Ketua Polis Negara (KPN), DIG Datuk Seri Haji Mazlan Lazim berkata, walaupun mereka mempunyai niat yang baik, namun polis perlu melaksanakan penguatkuasaan sewajarnya jika mereka ingkar SOP yang ditetapkan.
Beliau berkata pihaknya tidak mahu para sukarelawan berkeliaran di dalam zon merah dan menyebabkan terjadinya jangkitan atau penularan penyakit COVID-19, berikutan Kedah masih dalam Fasa Satu PPN.
"Hasrat mereka murni, datang dari jauh untuk membantu, ada yang datang dari Kuala Lumpur, Selangor tapi dalam masa sama kita tidak mahu penyakit ini menular," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran ramai sukarelawan daripada pelbagai badan bukan kerajaan ke daerah ini khususnya di kawasan yang terkesan banjir bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN
Pautan:
https://www.facebook.com/pdrmsiaofficial/videos/389886839194889/