Kota Tinggi, 9 September 2021 - Seorang penyelia kontrak di Kompleks Bersepadu Pengerang dekat sini, semalam dihukum penjara tiga tahun dan denda RM16,000 selepas mengaku salah memperdaya dua rakan sekerja untuk mendapatkan sumbangan pada 3 September lalu.
Mohd Zahazan Zainon, 45, yang menghadapi dua pertuduhan, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat di Mahkamah Majistret Kota Tinggi.
Dia mengaku bersalah menipu rakan sekerja dengan cara memperdaya mengatakan ahli keluarganya meninggal dunia akibat COVID-19, sedangkan ia tidak benar dan mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zahazan didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja dengan mengatakan perkara sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.
Lelaki berkenaan didakwa melakukan kedua-dua kesalahan antara jam 5.20 petang hingga 9.25 malam di Pejabat Bahagian Keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang di sini, pada 3 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN