Gombak, 17 September 2021 - Polis mengeluarkan tujuh kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dan 46 saman trafik ke atas pengunjung air terjun Sungai Pisang di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Tuan Zainal Mohamed Mohamed berkata, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) turut mengeluarkan dua kompaun dalam operasi bersepadu bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Menurutnya, kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tidak lengkap vaksinasi, selain penjaga kawasan rekreasi didapati gagal memastikan penjarakan fizikal pengunjung.
"Sementara saman trafik kebanyakannya dikeluarkan di Jalan Ulu Yam membabitkan kenderaan pengunjung yang diletakkan di bahu jalan sehingga pengguna jalan raya Iain terpaksa memperlahankan kenderaan mereka.
"Saman juga dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang melakukan kesalahan trafik seperti tiada cermin sisi, tidak memakai topi keledar dan tiada lesen memandu," katanya pada Khamis.
Jelasnya, kawasan rekreasi dibenarkan dibuka untuk orang awam namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Kebenaran itu terkecuali bagi kawasan rekreasi yang diwartakan sebagai kawasan Hulan Simpan Kekal," katanya.
Dalam kes berasingan di Bentong, Pahang pula, seramai 12 individu merentas negeri dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands di sini, tanpa permit sah membawa padah apabila mereka dikompaun RM5,000 setiap seorang.
Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mereka terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 58 tahun ditahan di Kilometer 17 Genting Highlands, kelmarin.
"Mereka gagal mengemukakan permit kebenaran rentas negeri yang sah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Semua yang dikompaun datang dari arah Kuala Lumpur menghala Genting Highlands," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, kompaun dikeluarkan di bawah peraturan 17(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021.
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN