Padang Besar, 9 November 2021 - Sindiket penyeludupan daun Ketum di Perlis dilihat cuba mengubah taktik mereka daripada menggunakan laluan di pagar sempadan sekitar Padang Besar kepada laluan hutan dan berbukit di Wang Kelian di sini untuk menyeludup bahan terlarang berkenaan ke Thailand.
Ini berdasarkan penemuan guni berisi daun Ketum seberat hampir 2.5tan bernilai RM75,000 disembunyikan dalam kebun getah di Wang Kelian oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Utara dari Batalion 3 PGA Bidor, Perak pada Jumaat lalu.
Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara, Superintendan Azhar Hashim berkata, dalam kejadian berkenaan anggotanya yang sedang melaksanakan rondaan menerusi penugasan Op Benteng COVID-19 Kawalan Sempadan Darat Malaysia-Thailand menerima maklumat berhubung daun Ketum yang disembunyikan di kebun getah berhampiran Kampung Wang Kelian di sini.
"Kita melakukan tiga rampasan dalam kebun getah yang sama di mana penemuan pertama jam 6.23 petang membabitkan 975 kilogram (kg) daun Ketum disembunyikan dalam 45 guni putih dan plastik hitam di sebuah pondok kecil dalam kebun itu.
"Pada jam 6.31 petang, kita menemukan 420kg daun Ketum disembunyikan dalam 14 guni putih diletakkan di tepi pokok getah dan 1,020kg daun Ketum diletak dalam 42 guni putih dan plastik hitam," katanya.
#BeSafe #Pray4Malaysia #LetsHelpOurFrontliners
HELP BREAK THE COVID-19 CHAIN