| KUALA
LUMPUR 21 Jan. - Berselindung di sebalik kerjaya sebagai juruteknik
komputer, dua lelaki yang dikenali sebagai 'Geng mudah.com' sebenarnya
merupakan dalang sindiket jualan dalam talian komponen motosikal curi di
sebuah laman web popular. Hasil
kerja sambilan tersebut, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 24
dan 23 tahun itu memperoleh pendapatan RM3,000 sebulan setiap seorang,
melebihi daripada jumlah gaji tetap mereka di sebuah syarikat di
Brickfields. Modus
operandi mereka juga begitu terancang apabila hanya membeli motosikal
curi sebelum dileraikan menjadi komponen tertentu, yang akan dijual
dengan harga jauh lebih murah berbanding harga pasaran di sebuah laman
web. Mereka turut memadamkan nombor siri yang terdapat pada enjin dan casis motosikal bagi mengelak dikesan pemilik asal. Bagaimanapun,
kerja sambilan mereka itu akhirnya dihidu pihak berkuasa yang memberkas
mereka di sebuah rumah sewa di Taman Sungai Besi Indah, Isnin lalu
bersama pelbagai komponen motosikal yang menanti untuk dihantar kepada
pelanggan. Ketua
Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd. Razak Elias berkata, hasil
intipan polis selama tiga minggu, kedua-dua suspek terbabit berjaya
diberkas bersama komponen motosikal bernilai RM15,000. "Suspek
menjadikan rumah sewa mereka sebagai bengkel untuk meleraikan
motosikal-motosikal curi. Malah ketika serbuan, masih ada empat
motosikal curi yang belum dileraikan. "Kita
percaya, ini adalah kerja sambilan mereka kerana mereka bekerja sebagai
juruteknik komputer di sebuah syarikat di Brickfields dan telah
menggunakan kepakaran itu untuk melakukan urus niaga terbabit," katanya
pada sidang akhbar di Balai Polis Serdang dekat sini hari ini. Abd.
Razak turut memberitahu, hasil siasatan, kedua-dua suspek dipercayai
menjalankan kegiatan mereka sejak dua tahun lalu dan mendapat bekalan
motosikal curi sekitar Lembah Klang. "Kita
mengesan jenayah ini melalui anggota yang melakukan rondaan berikutan
kes kecurian motosikal menyumbang 60 peratus jenayah indeks di sekitar
daerah Serdang sahaja. "Polis
berharap supaya orang ramai turut memberi maklumat jika ada jenayah
sebegini dan tidak membeli komponen motosikal curi kerana ia adalah satu
kesalahan," ujarnya. Kata
beliau, kedua-dua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 414 Kanun
Keseksaan iaitu menolong menyembunyikan harta curi dan direman sehingga
Isnin depan untuk membantu siasatan |