| Batu
Kawan, 13 Mei - Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera parah selepas
ditembak ketika berhenti di lampu isyarat persimpangan Bukit Tambun, di
sini malam tadi.
Kedua-dua
lelaki itu mati ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya dan hasil
siasatan awal polis mendapati mereka mempunyai beberapa rekod jenayah. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk
Abdul Rahim Hanafi berkata keempat-empat lelaki itu ditembak selepas
pulang daripada majlis perkahwinan saudara mereka di sebuah dewan
kira-kira 150 meter dari tempat kejadian. "Mereka
yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux datang dari Melaka.
Ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat itu kira-kira pukul 10.30
malam, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki menghampiri kenderaan mereka
dan melepaskan beberapa das tembakan dari arah kiri ke kanan," katanya. Bercakap
kepada pemberita di tempat kejadian, di sini awal pagi ini, Abdul Rahim
berkata mereka yang ditembak itu berusia antara 28 dan 60 tahun.
"Dua
lelaki yang mati itu berusia 28 dan 40 tahun manakala dua yang cedera
parah kini dirawat di Hospital Seberang Jaya," katanya. Abdul
Rahim berkata polis menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian
dan percaya suspek menggunakan pistol jenis automatik. Beliau
berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca
sebenar kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia berkaitan
perniagaan. "Saya
meminta orang ramai atau saksi yang melihat kejadian itu agar
menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. BERNAMA |