| Pekan,
4 Feb - Polis menahan empat lelaki dipercayai pengedar dadah dan
merampas 168 gram heroin di sebuah rumah di Bandar 2, Paloh Hinai di
sini, Sabtu lepas.
Ketua
Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata dalam serbuan 4 pagi itu,
suspek yang berasal dari Felda Chini dekat sini dan berusia dalam
lingkungan 26 dan 32 tahun ditahan selepas cuba melarikan diri.
"Polis
terpaksa memecahkan pintu rumah itu kerana suspek enggan beri
kerjasama. Mereka termasuk seorang lelaki yang bertongkat cuba melarikan
diri tetapi semuanya dapat ditahan," katanya kepada pemberita di sini,
hari ini.
Beliau
berkata hasil pemeriksaan, polis menemui heroin seberat 168 gram yang
dianggarkan bernilai RM10,000 dan merampas beberapa peralatan menghisap
dadah serta plastik lutsinar dipercayai digunakan untuk membungkus
dadah.
Selain
itu, polis merampas wang tunai RM800, tujuh buah telefon bimbit pelbagai
jenama, sebuah tablet, sebuah kereta Honda Jazz dan sebuah kereta Honda
Civic yang digunakan suspek.
"Siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
"Mereka
dipercayai aktif mengedar dadah sejak dua tahun lepas dan menggunakan
rumah yang baru sebulan disewa itu untuk membungkus dadah sebelum
diedarkan ke pasaran sekitar Paloh Hinai, Chini dan Bandar 2," katanya.
Yahaya
berkata kesemua suspek itu, yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kini
ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya
1952. Sumber : BERNAMA |