Jenis Arkib

Arkib Bulanan

Kejayaan

Geng Mamak Tumpas Selepas Rompak Farmasi Di Subang

Petaling Jaya, 12 Dis - Selepas 28 tahun diburu, dua beradik yang menganggotai Geng Mamak diberkas polis sejurus selepas mereka dan dua lagi anggota kumpulan itu merompak sebuah farmasi di Bandar Pinggiran Subang dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada kira-kira 5.35 pagi, kesemua lelaki berusia antara 34 dan 58 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kereta Mercedes Benz di depan premis farmasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang berkata kejadian itu disedari pemilik premis berkenaan selepas alat penggera kecemasan berbunyi.

"Pemilik premis itu terus menghubungi polis sejurus menerima amaran daripada telefon bimbitnya yang berbunyi daripada penggera kecemasan itu.

"Polis peronda dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang ke lokasi kejadian mendapati tiga suspek berada di dalam sebuah kereta Mercedes Benz hitam manakala seorang lagi berdiri di depan premis," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Balai Polis Kampung Baru Subang malam ini.

Junaidi berkata polis kemudian bertindak mengepung kumpulan itu menyebabkan mereka tidak sempat melarikan diri.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek berusia 58 tahun adalah orang yang dikehendaki polis dan aktif dalam kegiatan jenayah serta samun sejak 1977.

"Adiknya yang berusia 50 tahun serta dua yang lain masing-masing mempunyai lebih daripada dua rekod orang dikehendaki oleh polis Selangor, Kuala Lumpur dan Perak," katanya.

Junaidi berkata polis turut menemui pelbagai alat yang dipercayai digunakan untuk menyamun dalam but kereta itu.

"Antaranya sebatang pemotong besi kelapa sawit yang diubah suai, sebatang tukul besi, sebilah gergaji, tiga bilah kapak, tiga topeng muka dan lima batang besi kuku kambing," katanya.

Selain itu, polis merampas 35 tin susu pelbagai jenama, 12 botol air kesihatan, 18 botol vitamin dan tujuh keping plat pendaftaran kereta palsu.

Junaidi berkata pihaknya kini menjalankan siasatan lanjut berhubung tangkapan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sumber : BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS