| Tapah,
27 Jan - Polis Perak melupuskan sejumlah 956 mesin judi, disyaki
mengandungi perisian perjudian dalam talian bernilai hampir RM1 juta,
yang dirampas dalam tempoh tiga tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Som Sak Din Keliaw berkata pihaknya memperoleh kebenaran mahkamah untuk berbuat demikian.
"Kebanyakan
mesin judi yang dirampas itu adalah dari kawasan Bidor, Ayer Kuning,
Temoh dan Sungkai serta Tapah. Sebanyak 55 serbuan dilakukan dengan 58
tangkapan telah dibuat dalam tempoh tiga tahun tersebut," katanya kepada
pemberita hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun telahpun didakwa di mahkamah.
Bagaimanapun,
katanya, masih ada pemilik premis perjudian yang degil dan tetap
beroperasi meskipun diserbu beberapa kali selain menggunakan kamera
litar tertutup bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa. Selain itu,
pemilik berkenaan juga hanya membenarkan pelanggan tetap mereka memasuki
premis perjudian terbabit.
Sehubungan
itu, beliau menasihati orang ramai agar tidak terjebak dengan aktiviti
tidak sihat berkenaan manakala golongan ibu bapa perlu memantau
pergerakan anak masing-masing bagi memastikan mereka tidak terjebak
dengan amalan berjudi.
"Ini kerana 80 peratus daripada amalan gejala sosial ini akan menyumbang perkara berkaitan perlakuan jenayah," katanya.
Sumber : BERNAMA |