| Ipoh,
26 Jan - Penguatkuasaan polis secara menyeluruh terhadap pengguna jalan
raya bagi tempoh dua hari Op Selamat 4, sejak dilancar Khamis lepas,
mencatat penurunan jumlah kemalangan sebanyak 10.3 peratus berbanding
tempoh sama ketika Op Selamat 2 tahun lepas.
Pengarah
Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Seri Salleh Mat
Rasid berkata bagi tempoh itu, sebanyak 1,972 kemalangan dicatat
berbanding 2,199 kes dalam Op Selamat 2 bersempena perayaan Tahun Baharu
Cina pada 2013.
"Kita
berharap hari-hari mendatang sepanjang Op Selamat 4 dijalankan, ia akan
menunjukkan statistik yang positif. Pasukan kita telah meningkatkan
keupayaan penguatkuasaan keseluruhan sebanyak 30 peratus terhadap
pesalah lalu lintas," katanya kepada pemberita ketika melawat lokasi Op
Selamat 4 di Simpang Pulai hari ini.
Beliau
turut mengulangi bahawa polis tidak akan berkompromi dan sedia
mengambil langkah tegas dengan mengeluarkan saman selain menggunakan
tindakan perundangan terhadap kesemua pesalah lalu lintas.
Ini
selaras dengan sasaran Op Selamat 4 iaitu mengurangkan kemalangan jalan
raya sekurang-kurangnya lima peratus berbanding operasi sebelum ini
menerusi pendekatan penguatkuasaan penuh, katanya.
"Kita
percaya operasi ini akan mencapai matlamat yang ditetapkan selaras
dengan tema kali ini iaitu 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi',
kita berusaha untuk mencapai sasaran itu," katanya.
Salleh
juga yakin dengan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertingkat
rondaan serta pengawasan di kawasan perumahan, dan peratusan jenayah
terutama pecah rumah, dapat dikurangkan.
"Kita
juga akan memantau dengan rondaan polis terhadap rumah yang ditinggal
sempena cuti perayaan ini. Ketua polis daerah dan balai perlu mengatur
rondaan ke rumah yang ditinggalkan itu dengan syarat tuan rumah
memaklumkan kepada polis melalui borang maklumat meninggalkan rumah,"
katanya.
Beliau
berkata pemilik rumah perlu berbuat demikian atau menghubungi balai
polis berhampiran agar PDRM boleh mengatur rondaan spesifik ke kawasan
perumahan yang ditinggalkan.
Selain
itu, Salleh berkata polis Perak menerima tambahan 80 motosikal,
menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 100 di bawah Unit Rondaan
Bermotosikal di negeri berkenaan dan ia akan menyaksikan rondaan serta
kehadiran anggota polis di kawasan awam secara lebih kerap. Sumber : BERNAMA |