| Kota
Bharu, 27 Jan - Polis menggagalkan cubaan merompak sebuah bank di
Kubang Kerian di sini hari ini selepas alat penggera keselamatan bank
berkenaan berbunyi.
Ketua
Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata insiden pada 3.40
pagi itu disedari anggota polis bertugas dan sebaik tiba di lokasi
kejadian suspek mengacukan senjata api, menyebabkan polis melepaskan
tembakan tetapi tidak mengenai suspek dan suspek berjaya melarikan diri.
"Siasatan
mendapati kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis itu
disembur dengan cat merah selain enam CCTV di dalam bank turut disembur
dengan cat merah," katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan papan
kenyataan polis kepada Jabatan Pelajaran Kelantan di Ibu Pejabat Polis
Kontinjen Kelantan di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan Hussain Awang.
Beliau
berkata siasatan di tempat kejadian menemui satu kepala Oxyacetelyne
(OXY) yang digunakan untuk memotong pintu cermin di bank berkenaan.
"Kita
turut menemui dua tong gas OXY yang dibalut dengan beg plastik besar
dan setakat ini suspek belum dikenal pasti dan tiada kerugian
dilaporkan. Pemeriksaan di pintu bilik kebal dan beberapa bilik lain
mendapati tiada kesan pecah masuk," katanya.
Beliau
berkata berdasarkan semakan dan siasatan yang dijalankan dalam dua
kejadian berlainan di daerah itu, membabitkan kes pecah sebuah mesin
juruwang automatik (ATM) di Nilam Puri dan kes hari ini, polis mengenal
pasti ia dilakukan orang yang sama. Sumber : BERNAMA |