| Johor
Bahru, 4 Feb - Polis Marin Wilayah Dua menahan 58 orang Pendatang Asing
Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia di Kota Tinggi dekat sini semalam
ketika cuba keluar dari negara ini secara haram.
Komandernya
ACP Zainul Abidin Hassan berkata kesemua PATI yang terdiri daripada 43
lelaki, 13 wanita dan dua kanak-kanak itu ditahan kira-kira 7.30 malam
di pantai Tanjung Lompat, Penawar.
"Hasil
soal siasat mendapati kesemua PATI itu mengaku hendak pulang ke
Indonesia menggunakan bot pancung secara tidak sah," katanya dalam
kenyataan di sini, hari ini.
Penahanan
PATI berumur dalam dalam lingkungan 2 hingga 67 tahun itu adalah hasil
Operasi Landai Markas Taktikal Polis Marin Wilayah Dua.
Kesemua
PATI itu yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63
Pindaan 2002 ditahan di Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan
lanjut.
Zainul
Abidin berkata mereka disiasat kerana memasuki Malaysia menerusi laluan
tidak diwartakan, tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih
masa serta memiliki pasport tamat tempoh.
Dalam
tempoh awal Januari lepas hingga semalam, Polis Marin Wilayah Dua
melakukan 13 tangkapan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti
Penyeludupan Migran 2007.
Mengikut
Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002, pihaknya menahan 148 warga asing
dan dua lelaki, yang dipercayai bertindak sebagai tekong.
Sumber : BERNAMA |