| Kuala
Langat, 27 Jan - Polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes mencuri
dan meleraikan komponen kenderaan di sekitar Kuala Langat dengan
tertangkapnya tiga lelaki dalam dua kes pada Selasa dan Rabu lepas.
Ketua
Polis Daerah Kuala Langat Supt Azman Abdul Razak berkata pada Selasa
lepas polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun di sebuah
rumah di Jalan Bukit Cheeding, Kampung Seri Cheeding dekat sini dan
merampas pelbagai barangan komponen kenderaan yang dipercayai dicuri.
"Kami
merampas antara lain komponen seperti 29 biji tayar kenderaan, satu
guni mengandungi komponen kenderaan dileraikan, enam kotak gear box,
tiga dashboard, dua unit sistem absorber, dua bumper serta satu tangki
minyak dari rumah tersebut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat
Polis Daerah Kuala Langat di sini hari ini.
Beliau
berkata dalam serbuan hari Rabu pula polis memberkas dua pekerja kedai
besi buruk berusia 30 dan 35 tahun di Jalan Banting Klang, Batu 17,
Sungai Sedu, Banting 22 Jan lepas setelah dipercayai terlibat dalam
kegiatan meleraikan komponen kereta yang dicuri.
Hasil
pemeriksaan, katanya, polis merampas dua rangka kereta Nissan Sunny dan
kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil
1955.
Dalam kes
berasingan, Azman berkata polis berjaya menahan 10 lelaki, 12 perempuan
dan lima kanak-kanak warga Indonesia yang cuba keluar secara haram ke
negara asal mereka berdekatan kawasan kelapa sawit, berhampiran Pantai
Tanjung Layang kira-kira pukul 9 malam semalam.
Katanya
dua buah motosikal yang digunakan untuk mengangkat sebahagian daripada
tahanan untuk berulang-alik ke persisiran pantai turut dirampas dan
polis masih menjejaki seorang lelaki yang menguruskan perjalanan warga
asing itu yang berjaya melarikan diri.
Katanya
polis mendapati sebahagian besar daripada tahanan tidak memiliki
dokumen perjalanan sah dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) Akta
Imigresen 1959/1963. Sumber : BERNAMA |